December 18, 2024

Pelakon tinggi lampai, Aishah Ilias, 35, tidak terkilan membuat keputusan berundur diri dari radar dunia seni ketika nama sedang di kemuncak demi keluarga.

Pernah mencipta populariti menerusi drama Cinta Ibadah pada 2014, Aishah yang tampil dengan filem bergenre seram, Musyrik – Api Neraka Menantimu! berkata, dia sudah kembali ke arena seni pada 2020.

Namun, pelakon kacukan Arab-India di sebelah ibu dan Cina-Jawa di sebelah bapa itu berkata, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkannya kelihatan agak lama tenggelam dan meninggalkan dunia lakonan.

“Saya tersilap membuat percaturan. Sebaik aktif semula, kita berdepan dengan fasa PKP. Sepatutnya, saya terbabit dengan sebuah drama, tetapi penggambaran terpaksa ditangguhkan.

“Jujurnya, saya bukan memilih watak, tetapi lebih rela menerima watak bersesuaian berbanding tawaran tidak memberi kepuasan.

“Tak kisah netizen nak kecam tak popular pun memilih, sebab itulah kurang popular. Namun, saya lebih suka menerima watak yang tiada kena dengan saya.

“Sebenarnya, selama ini bukannya tiada tawaran, banyak tawaran diterima, tetapi cerita sama seperti kisah Megah Holding, jadi saya tidak begitu berminat,” katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai kehilangannya, Aishah atau nama sebenarnya, Siti Aishah Ilias berkata, dia membuat keputusan berundur seketika atas sebab tertentu yang terlalu peribadi untuk dikongsikan.

“Ada sebab kenapa saya tinggalkan dunia seni buat seketika. Jika saya kongsi apa yang berlaku mungkin ia akan membuatkan keluarga terasa.

“Jadi, lebih baik saya tidak berkongsi, lagipun ia sudah pun selesai. Sebab itu, saya muncul semula selepas bersedia.

“Saya akui, langsung tak menyesal meninggalkan dunia seni ketika nama masih menjadi sebutan, apatah lagi, melihat kejayaan rakan seangkatan lain.

“Saya percaya kepada rezeki, ia juga bukan kuasa kita untuk menentukannya.

“Lihat sahaja Rozita Che Wan yang memulakan kerjaya agak lewat, tetapi tetap meletup sehingga kini. Jadi, saya tak kisah jika ada yang menganggap saya lambat bermula,” katanya.

Berkongsi mengenai filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! arahan Arjin Uppal, Aishah melakonkan watak Wati berkata, dia mengalami kejadian pelik di lokasi termasuklah gelembung gatal pada seluruh badan.

“Saya terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terbabit dengan babak seram dalam kubur. Bagaimanapun, keadaan saya kembali pulih selepas mendapat suntikan dan berehat selama beberapa jam.

“Filem ini menjalani penggambaran sebelum pandemik COVID-19 dan terpaksa ditangguhkan tayangan selama dua tahun.

“Saya bimbang juga ada yang mempertikaikan suntingan filem kerana menggunakan teknologi lama. Namun, saya bersyukur setakat ini, menerima respon baik.

“Malah, saya diberitahu pawagam penuh dengan penonton sejak ditayangkan pada 7 Julai lalu,” katanya.

Filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd turut menampilkan Ashraf Muslim, Aeril Zafrel, Ruhainies, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *