BERMULA dengan menyewa gerai di sebuah restoran pada 2017, Mee Racun Titan melebarkan perniagaan mereka dengan membuka restoran sendiri di Sungai Buloh dan mempelbagaikan menu sedia ada, diinspirasikan menu yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Pengasas Foods Mania Resources dan Mee Racun Titan, Shahrul Amar Unus berkata, makanan berkonsepkan gearbox kambing ini jarang diketengahkan dan agak susah untuk didapati lebih-lebih lagi ia dihidang berkuahkan rempah merah bersama-sama mi.
Lebih menarik nama menu yang disediakan mampu membuatkan darah pelanggan berderau seperti maut, vaksin, jannah dan syahid.
Menurutnya, ia bagi menggambarkan pengalaman pelanggan selepas menikmati keenakan mi racun yang dihidangkan bersama kuah rempah merah, bersama sum-sum tulang dan daging yang lembut.
Selain mi racun, Mee Racun Titan turut menghidangkan pelbagai menu lain yang menepati selera semua golongan termasuk kanak-kanak.
“Model perniagaan kami pada masa ini hanya bergantung kepada restoran di mana pelanggan boleh menikmatinya di restoran, bawa pulang atau pesanan menerusi perkhidmatan penghantar makanan, juga menerusi WhatsApp dan panggilan telefon.
“Kami sentiasa agresif dalam memasarkan produk dan perniagaan kami, bermula dengan penjenamaan Mee Racun Titan itu sendiri. Selain itu kami juga mengenalpasti tingkah laku pelanggan, menerusi platform media sosial, acara sua dan sapa, tajaan dan pempengaruh,” katanya.
Bagi yang ingin menyertai Mee Racun Titan sebagai francaisi, Foods Mania Resources menawarkan pakej peniagaan termasuk kelengkapan berjumlah RM200,000 untuk restoran, food truck (RM85,000), gerai (RM65,000) dan kios (RM15,000).
Bagi perancangan jangka panjang, Shahrul Amar juga bakal menawarkan pengalaman menikmati Mee Racun Titan, menerusi versi mi segera.
Ketika ini pihaknya sedang bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Mardi untuk merealisasikan projek jangka panjang itu.
“Mee Racun Titan akan dibungkus seperti mi segera dan pembangunan pes sedang giat dilakukan dengan kerjasama Pernas dan Mardi dan sekiranya berjaya ia akan dijual kepada pelanggan menerusi stokis dan ejen serta kedai berhampiran,” katanya.