September 20, 2024

BIARPUN penampilannya dikatakan semakin seksi oleh segelintir pihak, namun pelakon Emma Maembong kekal tenang dan tidak mudah melatah dengan kata-kata pedas yang dilemparkan.

Malah, Emma tetap menjalani hari-harinya dengan indah bersama suami dan anak tersayang.

Mengakui keputusan untuk kembali membuka hijab selepas lima tahun menutupi rambutnya bukan satu pilihan yang baik, namun Emma enggan bersikap hipokrit.


Bagaimanapun wanita berusia 30 tahun itu menjelaskan, dia tidak akan selamanya membawa imej sebegini dan percaya masa yang tepat akan mengubah jalan hidupnya.

“Setiap wanita beragama Islam pasti ingin menuju ke arah kebaikan, begitu juga saya. Tiada siapa yang mahu selamanya kekal dengan imej sebegitu (membuka aurat) dan berbuat jahat,” katanya.

Tambah Emma, penambahan usia setiap tahun turut mendorongnya untuk perlahan-lahan membuka pintu hati ke arah kebaikan.

“Saya pernah pakai tudung, Insya-Allah satu hari nanti, mesti saya akan ke arah itu semula. Masa yang tepat akan tiba.

“Saya juga tidak mahu selamanya imej seperti ini. Saya pun nak ke arah kebaikan kerana saya bukannya makin muda,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan sebagai pelakon, Emma mengaku enggan terlalu terburu-buru dalam menjayakan sesuatu naskhah, sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada pembesaran anaknya, Shariq Gabriel.

Kata Emma, dia tidak mahu terburu-buru kembali bekerja sehingga terlepas momen indah bersama anaknya.

“Tak semua tawaran saya terima. Pada fasa sekarang saya memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Saya tidak mahu kehilangan momen indah bersama anak.

“Sebelum ini habis berpantang saya terus bekerja. Sedar-sedar anak dah panggil saya mama. Begitu cepat masa berlalu dan saya terlepas kenangan bersama anak,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk menambah cahaya mata, Emma mengaku mengimpikan anak yang ramai.

“Bukan saja saya, tapi suami pun nak anak ramai. Selepas berpantang ketika bersalin anak pertama, saya dan suami berusaha untuk dapatkan anak kedua. Tapi soal rezeki hanya Allah yang tahu

“Anak sulung pun dah berusia dua tahun sekarang. Selagi belum ada (hamil lagi), saya tak nak cakap apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu, Emma menjawab khabar angin yang mendakwa dirinya kini sedang berbadan dua.

Emma berkata, dia akan berkongsi khabar gembira sekiranya perkara itu benar-benar terjadi.

“Saya tak nak cakap apa-apa sebab saya dan suami pun masih mencuba. Kalau saya kata ya, tapi tidak ada (hamil), saya akan sakit.

“Soal zuriat ni adalah perkara yang sensitif. Doakan semoga segalanya dipermudahkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *