December 18, 2024

PARLIMEN: Akhirnya keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 diperolehi dengan suara 2/3 ahli parlimen. Keabsahan ini dengan sendirinya mengesah dengan rasminya kerajaan perpaduan yang terkandung di dalamnya parti PH, BN, GPS, GRS dan Warisan. Malah memperakui secara simbolik kedudukan kabinet menteri yang dilantik.

Anwar dilihat lebih matang di dalam mengajak parti-parti lain untuk bergabung bagi membentuk kerajaan perpaduan selaras dengan titah YDPA.

Anwar mempunyai peluang luas untuk menghancurkan BN dan UMNO dengan membuat tawaran secara berasingan kepada setiap ahli parlimen BN untuk menyertai PH bagi membentuk kerajaan dengan meminggirkan Zahid yang dilabelkan sebagai kluster mahkamah. Tetapi Anwar memilih untuk memberikan ruang kepada Zahid untuk membawa kesemua ahli parlimen BN secara en-block.

Keputusan Anwar sebenarnya membantu UMNO dan BN untuk bangkit kembali. Kedudukan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN dan juga beberapa ahli parlimen BN yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri memberi peluang yang terbuka luas bagi UMNO dan BN untuk menyusun kembali strategi bagi menambat hati rakyat. Jika Anwar seorang pendendam, beliau mempunyai pelbagai helah untuk membenam UMNO dan BN.

Pemimpin UMNO dan BN yang masih dibuai mimpi dengan janji Muhyiddin sepatutnya segera sedar bahawa keadaan UMNO dan BN di mata rakyat tidak seperti dahulu lagi. Perebutan kuasa secara tidak sihat, dengki khianat dan tikam belakang wajar dihentikan segera sekiranya ingin melihat UMNO dan BM kekal relevan.

Peremajaan dan perubahan sudah dilaksanakan oleh Presiden ketika meletakkan calon bermula dari pilihanraya Melaka dan Johor serta berlanjutan ke pilihanraya umum ke-15. Presiden dengan berani menonjolkan ramai calon dari segmen usia pemuda tetapi gagal juga kenapa? Jawapnya mudah, masih ada amalan cas keting yang membawa kepada amalan sabotaj dari dalam. Masih menebal perangai war-lord yang tidak cukup puas dengan belasan dan puluhan tahun menjadi wakil rakyat. Masih ego tinggi seolah-olah kawasan itu aku yang punya.

Sifat keakuan ini bukan sahaja memusnahkan UMNO dan BN tetapi dirinya sendiri.

Anwar telah tunjukkan jalan kepada UMNO dan BN bagaimana beliau membantu Zahid untuk mengembalikan imej parti UMNO, selagi orang UMNO sendiri tidak berubah dan masih bermuka-muka, UMNO dan BN tidak akan selamat di pilihanraya negeri nanti dan bakal berkubur di pilihanraya ke 16.

Jika Anwar ada keyakinan kepada Zahid, mengapa tidak ahli UMNO?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *