December 18, 2024

Beijing: Seorang wanita muda di China yang kehilangan mata dalam kemalangan kereta mengubah nasib malang menimpanya dengan mencipta mata prostetik yang mengagumkan dunia.

Xia Tong yang kehilangan sebelah mata akibat kemalangan pada 2013, hidup menyendiri dan hilang keyakinan untuk bertemu masyarakat kerana cacat.

Wanita itu mula bangkit dan belajar bersungguh-sungguh sebelum bergelar juruteknik mata prostetik yang unik.

Dia berkebolehan membuat mata prostetik klasik yang hampir tidak dapat dibezakan daripada mata sebenar, malah terkenal dengan mata bionik yang menyalakan warna berbeza dan berkelip.

Dia memasukkan lampu LED kecil dalam prostetik hingga membolehkan mereka kelihatan seperti android dalam kehidupan sebenar atau robot Terminator.

Rakaman video pendek dia mencuba beberapa prostesis luar biasa ini tular di China dan meraih perhatian ramai.

Wanita berusia 28 tahun itu memberitahu Beijing News, dia membuat mata palsu bagi membantu golongan senasib menangani masalah keyakinan diri.

“Saya bertemu ramai orang yang menyendiri dan tiada keyakinan selepas hilang mata.

“Sejak itu ia memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi ahli okular dan mencipta prostetik lebih baik bagi menggantikan mata asal,” katanya.

Kisah dan kesungguhan Xia Tong itu meraih perhatian ramai yang memuji keberaniannya mengubah nasib yang menyebabkan trauma kepada sesuatu lebih positif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *