December 16, 2024

KUALA LUMPUR: Stacy Anam menjelaskan single baharu Menyala tidak membawa maksud negatif termasuk apa yang didakwa percubaan perli orang lain.

Tambah Stacy, lagu ciptaannya itu tidak mempunyai kaitan dengan isu penarikan diri daripada Konsert A Night With Sumandak Star: Ceritera Hati yang dipentaskan di sini, baru-baru ini.

Stacy berkata, sebaliknya, Menyala berkisar individu yang menyerlah dalam setiap perkara dilakukan.

“Lagu Nyala dihasilkan sebaik saya selesai dengan program realiti, The Hardest Singing Show, Julai lalu.

“Namun, jika ada pihak yang hendak mengaitkan lagu ini dicipta kerana mahu bersaing dengan insiden yang berlaku baru-baru ini, terpulanglah,” katanya pada sesi previu video muzik Menyala di sini, semalam.

Stacy yang menyelitkan elemen Sabah dalam single itu memberitahu, sejak single Pakai Buang, dia suka memasukkan istilah dalam dialek Sabah ke dalam lirik karya ciptaan.

Malah, Stacy menyangkal imej digayakan dengan menggabungkan busana etnik Sabah dan moden ke sidang media semalam, dilakukan bagi menunjukkan dirinya memiliki semangat kenegerian tinggi.

Sementara itu, Stacy tidak mahu memanjangkan kontroversi Konsert A Night With Sumandak Star: Ceritera Hati kerana mahu memberi tumpuan kepada konsert solo di Sabah, Jun tahun depan.

“Insya-Allah selepas 16 tahun, saya bakal pentaskan konsert sendiri dan memilih memahatkan sejarah itu di tanah kelahiran sebelum tempat lain,” katanya.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *