December 16, 2024

Bergelar ibu tunggal selepas bercerai pada Februari lalu, Elliza mendakwa sepanjang tempoh perkahwinan, dia kerap menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

PETALING JAYA: Sudah penat bertahan selama 12 tahun, penyanyi dan pelakon, Elliza Razak, 40, bersyukur mendapat kekuatan untuk keluar daripada perkahwinan yang didakwa penuh derita.

Bergelar ibu tunggal selepas bercerai pada Februari lalu, Elliza, 40, mendakwa sepanjang tempoh perkahwinan, dia kerap menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

“Jujur saya katakan selama 12 tahun bertahan (dalam rumah tangga), saya rasa lega sangat selepas bercerai… Saya sudah penat. Selama ini, saya yang menanggung ekonomi keluarga. 

“Iya, saya jadi mangsa keganasan rumah tangga. Sebab itu juga saya nekad bercerai kerana sudah tidak tahan. Punca saya mulakan proses permohonan cerai apabila dia ugut tidak benarkan saya berjumpa anak-anak.

“Saya jugalah mengambil peranan dalam menguruskan perbelanjaan keluarga sepanjang bergelar isteri,” dakwanya ditemui pada majlis Suria 17 di sini, hari ini.

Elliza bercerai dengan Khairul Adzwan Nasir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Subang Bestari

Bekas peserta musim ketiga Akademi Fantasia (AF3) itu paling risaukan nasib dua anak yang didakwa menyaksikan sendiri dia menjadi mangsa keganasan dan dipukul di hadapan mereka.

“Mungkin sebelum ini saya bodoh kerana tidak buat laporan polis. Saya tidak mahu dia ditahan. Saya juga fikirkan anak-anak. Tetapi, selepas bercerai, saya ada buat laporan supaya dia tidak boleh mengganggu saya dan anak-anak. 

“Dalam tempoh idah pun dia pukul saya dan ketika itu anak kami nampak apa yang berlaku,” dedahnya. 

Kini semangatnya sudah kembali pulih untuk melakukan bidang diminatinya seperti aktif semula dalam dunia seni selepas sekian lama mendiamkan diri. 

“Sekarang ini saya cari semula apa yang buatkan saya gembira. Syukur dapat bertemu dengan orang tepat untuk menguruskan perjalanan kerjaya seni,” katanya yang baru-baru ini melancarkan lagu baharu berjudul Urai.

Lagu ciptaan Iqie Hugh dan Omar K itu juga menurutnya berkaitan dengan apa yang dilaluinya dalam tempoh perkahwinan. – HM Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *