KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pelaburan yang dikaitkan dengan pengasas Berjaya Group Bhd, Tan Sri Vincent Tan melupuskan 4.85 peratus kepentingan ekuiti dalam Berjaya Food Bhd hanya seminggu selepas muncul sebagai pemegang saham besar dalam pengendali Starbucks di Malaysia itu dengan 8.09 peratus pegangan.
Detik Ria Sdn Bhd menjual 4.85 peratus pegangan, terdiri daripada 86 juta saham, melalui urus niaga langsung pada Khamis, demikian menurut makluman kepada Bursa Malaysia.
Ini mengurangkan pegangannya dalam Berjaya Food kepada 3.24 peratus.
Pemegang saham utama Berjaya Food ialah Berjaya Corp Bhd, dengan pegangan langsung sebanyak 5.7 peratus dan pegangan tidak langsung sebanyak 57.53 peratus melalui Berjaya Group.
Harga saham Berjaya Food mencecah paras terendah 34.5 sen pada 18 November lalu dan telah merosot lebih 38 peratus tahun setakat ini, di tengah-tengah boikot jenama seperti Starbucks disebabkan oleh hubungan mereka dengan Israel.
Saham Berjaya Food hari ini susut satu sen atau 2.6 peratus untuk ditutup pada 37.5 sen, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM682.2 juta.
Syarikat itu berada dalam kerugian sejak empat suku kewangan yang lalu.