December 16, 2024

Afidavit dikemukakan anak Najib Razak, Nizar, berkenaan pengesahan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membuktikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan naib presiden, Wan Rosdy Wan Ismail, tidak berbohong.

Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata pihakknya juga yakin bahawa titah tambahan untuk Najib menjalani tahanan rumah adalah benar-benar wujud.

“Justeru jangan biarkan isu adendum ini menjadi misteri yang berpanjangan dan mengelirukan rakyat. Rakyat mahukan kebenaran. Kalau ia benar maka rakyat mahukan titah itu dilaksanakan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Tambah Mustapha, pengesahan itu dititahkan oleh Sultan Pahang ketika exco negeri menghadap baginda.

Katanya, adalah mustahil Al-Sultan Abdullah berbohong dengan menyatakan sesuatu yang tidak benar.

“Isunya, kenapa adendum itu disembunyikan? Siapa yang menyembunyikannya? 

“Adendum itu adalah satu titah seorang Agong yang wajib ditaati dan dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya lagi.

Semalam Nizar memfailkan afidavit dengan mendakwa Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan titah tambahan supaya bekas Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara penahanan dalam rumah.

Afidavit itu difailkan sebelum rayuan Najib di dengar di Mahkamah Rayuan. Bekas ahli parlimen itu memohon diberi kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan titah tambahan tersebut.

Sumber yang rapat mengesahkan kepada Malaysiakinibahawa Nizar memfailkan afidavit itu sebagai sebahagian daripada permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan.

Difahamkan terdapat perintah mahkamah yang menyekat orang ramai daripada menjalankan carian fail bagi mengakses dokumen tersebut.

Mustapha berkata Veteran Umno mendesak kerajaan supaya berterus terang mengenai isu berkenaan demi kedaulatan undang-undang dan ketaatan kepada raja seperti tercatat dalam Rukun Negara. 

“Sebarang usaha untuk mengkhianati Rukun Negara oleh kerajaan akan menghilangkan rasa hormat rakyat,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *