December 16, 2024

Anak sulung kepada bekas Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar didakwa menerima dokumen daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Rayuan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, dokumen tersebut diterima Nizar pada 2 Disember atas arahan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran dokumen berkenaan selain menjelaskan kandungannya menyatakan Najib perlu menjalani baki hukuman penjara di rumah.

“Perintah ini ditandatangani pada 29 Januari, sama dengan perintah utama yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta,” katanya pada Khamis.

Ujar beliau, bukti baharu itu akan memuktamadkan bahawa perintah adendum itu wujud.

“Apabila ia didedahkan, anda akan terkejut melihat siapa yang diarahkan (ketika itu) Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan perintah tambahan ini.

“Saya tidak mahu mendedahkan kerana terdapat perintah perlindungan yang sedang berkuat kuasa.

“Kami serahkan kepada kerajaan untuk menentukan sama ada perintah tambahan ini benar atau tidak,” jelas beliau.

Terdahulu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan bahawa pihak beliau telah memfailkan bukti baharu pada 3 Disember sehari selepas menerimanya.

Sementara itu, ditanya kenapa beliau tidak memasukkan bukti baharu itu lebih awal ketika anak guamnya memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, Muhammad Shafee berpendapat Sultan tidak mahu terlibat dalam kontroversi awam.

“Oleh sebab itu, baginda kekal berdiam diri namun keadaan menjadi terlalu serius dan hampir setahun sejak perintah tambahan itu diluluskan.

“Adalah tidak adil kepada Najib jika perintah seperti itu wujud,” katanya.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Dalam permohonan yang difailkan April lepas, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari lepas.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *