December 16, 2024

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menangguhkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mengemukakan bukti baharu dalam pendengaran rayuannya memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan titah adendum.

Najib yang merupakan mantan Perdana Menteri membuat rayuan selepas permohonan beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. 

Untuk makluman, titah addendum itu didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Hari ini di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Azizah Nawawi, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan telah memohon masa tambahan berikutan bukti baharu itu. 

Kata beliau, pihaknya baharu sahaja menerima dokumen berkaitan rayuan bukti baharu ini semalam dan memerlukan masa tambahan untuk menentukan kesahihan dokumen itu. 

Ini kerana kata beliau, dokumen tersebut tidak ada tandatangan. 

Peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudiannya memohon supaya tarikh pendengaran lebih awal memandangkan kes yang telah dibawa anak guamnya mempunyai keperluan mendesak. 

Namun Azizah berkata, suatu pengurusan kes akan diadakan untuk menentukan tarikh pendengaran baharu bagi permohonan itu. 

“Kami tiada budi bicara untuk memutuskan mendengar kes ini kerana keputusan itu dibuat oleh pejabat pendaftar mahkamah. Perkara ini akan ditangguhkan ke tarikh lain,” putusnya.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Hakim Datuk Firuz Jaffril.

Najib pada Selasa lepas telah memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu bagi mengukuhkan usahanya mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman titah adendum.

Difahamkan bukti baharu itu dikemukakan oleh anak lelaki Najib, Datuk Nizar baru-baru ini. 

Najib sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan titah adendum tersebut. 

Mahkamah memutuskan empat afidavit bagi menyokong permohonannya termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan naib presiden parti yang sama, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersifat dengar cakap atau khabar angin.

Najib memohon perintah mandamus bagi memaksa sama ada semua atau satu daripada responden menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Januari 2024.

Ia dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Ketika ini Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *