KUALA LUMPUR: Pengarah filem Mael Totey The Movie, Syahmi Sazli turun padang membantu mangsa banjir di Kelantan dengan menghulurkan sumbangan makanan dan keperluan harian di beberapa kawasan di Kota Bharu, sejak semalam.
Anak jati Kelantan berusia 29 tahun itu ketika dihubungi BH Online berkata, kira-kira 500 pek bantuan diagihkan kepada mangsa banjir, semalam.
“Alhamdulillah, di Kota Bharu, air sudah mula surut. Kalau hendak diikutkan, keadaan tidak teruk seperti tahun-tahun sebelum ini. Pada 2014, air melimpah sampai ke bandar. Tetapi ada daerah seperti Tumpat dilanda banjir teruk, kali ini.
“Melihatkan bencana itu, saya beri bantuan sejak semalam. Cuma saya tidak hebahkan media sosial. Ada orang cakap saya tak bantu, saya tolong cuma tidak berkongsi.
“Semalam, saya hulurkan makanan dan barangan keperluan seperti selimut, lampin pakai buang dan tuala wanita di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Banggu dan Sekolah Menengah Ugama Al-Yunusiah,” katanya.
Syahmi mengutamakan mangsa di kawasan tempat tinggalnya, iaitu di Kota Bharu berbanding luar daerah yang mendapat perhatian pihak lain.
“Hari ini kami mula awal dan kalau boleh nak pergi ke tiga PPS. Insya-Allah kalau sempat saya akan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti, Sekolah Kebangsaan Sering, dan Sekolah Kubang Kerian 2.
“Saya percaya di daerah yang jauh sudah ramai yang bantu. Jadi, saya utamakan dengan kawasan yang dekat dengan saya. Insya-Allah cuba bantu ikutkemampuan saya,” katanya.
Syahmi bersyukur ramai rakan pempengaruh dan usahawan di Kelantan turut sama membantu mangsa banjir.
“Rakyat Kelantan banyak sokong saya sebelum ini. Jadi, masa ini saya mahu balas balik. Saya tidak dapat bantu semua, namun. saya buat apa yang mampu,” katanya.