November 21, 2024

Kerajaan bersedia berdepan kritikan berhubung komitmennya untuk menarik balik subsidi petrol mulai  pertengahan 2025, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli

Dalam temu bual dengan Bloomberg TV, dia mengakui bahawa dasar sensitif itu berkemungkinan akan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat apabila ia berkuat kuasa.

“Ia adalah keputusan sekali dalam satu generasi yang memberi kesan kepada kehidupan semua orang.

“Harapan saya, dan tanggungjawab kita dalam kerajaan, adalah untuk memastikan kita menguruskan perkara ini dengan betul supaya perubahaan dasar ini mampan,” kata Rafizi, sambil mengakui bahawa inflasi adalah kebimbangan terbesar kerajaan walaupun hanya kumpulan pendapatan 15 peratus teratas akan tertakluk kepada harga RON95 yang lebih tinggi.

“Adalah kelaziman ekonomi Malaysia bahawa, apabila berlaku kenaikan harga bahan api, kita melihat segala-galanya meningkat.

“Simulasi kami ialah jika berlaku kenaikan harga, kita harus menunggu sekurang-kurangnya kitaran 12 bulan sebelum inflasi secara asasnya stabil semula kepada sekitar 2 peratus,” katanya.

Kerajaan menjangkakan kadar inflasi akan berada pada purata dalam julat antara dua hingga 3.5 peratus tahun depan, berbanding 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2024.

Rafizi berkata, anggaran 3.5 peratus itu adalah ‘senario terburuk’ yang dihadapkan dalam dielakkan jika Malaysia menggunakan sistem harga dua peringkat bagi RON95.

Menurutnya, rancangan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 adalah penting bagi reformasi fiskal negara.

Semalam, Rafizi berkata sistem harga dua peringkat akan diperkenalkan. Di bawah sistem itu, mereka yang tidak layak menerima subsidi iaitu kumpulan dengan pendapatan 15 peratus teratas, perlu membayar harga pasaran di pam minyak.

Rafizi berkata 85 peratus rakyat akan terus boleh membeli bahan api itu pada harga bersubsidi apabila penyasaran tersebut dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan.

Dia berkata kerajaan bagaimanapun sedang meneliti mekanisme terbaik bagi membolehkan perkara berkenaan dilaksanakan.

“Yang tidak layak mendapat subsidi itu yang disebut T15. Siapa sebenarnya T15, ini yang kita sedang proses nak tentukan.

“Tetapi untuk rakyat lain, kita ada kira-kira 30 juta orang, mekanismenya itu yang sekarang ini sedang dibincangkan dan diperhalusi untuk pelaksanaan,” katanya.

Kerajaan berharap langkah itu dapat menjimatkan RM8 bilion dan juga meyakinkan pelabur bahawa ia serius terhadap pembaharuan fiskal.

Katanya, satu lagi kaedah ialah mengapungkan harga RON95 seperti yang dilakukan dengan diesel pada bulan Jun lalu, dan menyediakan bantuan tunai kepada golongan yang memerlukan untuk mengurangkan kesan kos yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, cabarannya adalah untuk memastikan ia mencapai segmen penduduk yang betul.

Rafizi, yang juga timbalan presiden PKR, menambah bahawa tumpuan kerajaan adalah terhadap  pembaharuan subsidi dan mengoptimumkan perbelanjaan sebelum mereka mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai penggunaan.

Temu bual itu juga menyentuh mengenai kemungkinan  Malaysia menandatangani perjanjian dengan Singapura mewujudkan zon ekonomi khas di Johor menjelang Disember, dengan kumpulan pertama pelabur dijangka datang pada separuh pertama 2025.

Kerajaan juga telah memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM5 bilion untuk kemudahan infrastruktur di zon itu.

Rafizi juga berkata Malaysia menyasarkan untuk mengembangkan ekonomi sekurang-kurangnya 5 peratus setiap tahun untuk beberapa tahun akan datang dan berharap ringgit boleh mencapai 3.8 berbanding dolar AS jika Malaysia mampu mengekalkan pertumbuhan kukuh pada tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *