November 7, 2024

Bajet 2025 merupakan penyediaan belanjawan yang paling besar di dalam sejarah negara ini. Peningkatan sebanyak RM53.7 bilion.

(Bajet 2024: RM367.3 Billion 

Bajet 2025: RM421 Billion)

Sepintas lalu kenaikan belanjawan 2025 adalah kerana perbelanjaan mengurus naik 16% iaitu kepada RM335 bilion, peningkatan jumlah gaji kepada RM6.1bn (kenaikan gaji baharu). Malah pencen turut naik kepada RM6.1 bilion serta bayaran servis hutang turut naik kepada RM3.9 bilion.

Perlaksanaan bajet 2025 menunjukkan Anwar cuba menampakkan bahawa belanjawan kali ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan kerajaan dengan mengurangkan subsidi tetapi di waktu yang sama Anwar telah ‘menambahkan’ rejim cukai dengan mewujudkan cukai-cukai baharu seperti Cukai Dividen dan Cukai Minuman Bergula/ Cukai Minuman Manis. Namun adakah Anwar ada data terperinci yang meyakinkan bahawa kaedah Penguncupan Subsidi dan Peluasan Cukai tidak memberi kesan langsung kepada rakyat marhain?

Bagaimana Anwar ingin jelaskan tentang kesan inflasi yang dijangka lebih tinggi, kos sara hidup meningkat, kadar pengangguran, hutang kerajaan, dan paling penting peningkatan kadar keberhutangan rakyat terutama golongan B40?

Jangan jadikan penyasaran subsidi adalah strategi untuk menaikkan ‘ekonomi kantung’ kumpulan B40 dan ekonomi golongan marhain sedangkan penguncupan subsidi dan penambahan rejim cukai adalah untuk menambah ‘ekonomi kantung’ negara.

Adakah bantuan tunai kepada rakyat (SARA, STR) mampu untuk menyerap impak kenaikan kos sara hidup berikutan kenaikan gaji minima dan pengurangan subsidi petrol dan diesel?

Sepatutnya kerajaan memberi  lebih tumpuan kepada ‘high end product’ keluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada barangan impot atau meletakkan syarat ‘transfer technology’ kepada kesemua pelabur yang ingin membina kilang mereka di negara kita.

Pihak GLC pula digalakkan mengambil peluang serta menjadikan anak angkat kepada penguna berteknologi tinggi kepada agensi kerajaan yang mengunakan produk dengan skala besar seperti ATM, PDRM dan lain-lainnya. Dengan strategi sedemikian maka lepasan  TVET berupaya meningkatkan kemahiran serta teknologi tempatan dapat digunakan dan secara langsung dapat mengurangkan kebergantungan produk impot. Strategi ini bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi domestik negara malah ekonomi rakyat terutama golongan B40 turut mendapat manfaat yang besar.

Insya Allah, kita sama-sama tunggu perbahasan bajet 2025 minggu ini.

Seperkara lagi, kepada yang berkenaan, Bajet Alternatif hanya Anwar sahaja yang sediakan ketika beliau menjadi ketua pembangkang dan tidak pernah mampu mencabar bajet yang dibentangkan oleh kerajaan pusat ketika itu.

Tidak pernah ada satu cadangan dari “Bajet Alternatif Anwar” diterima untuk memberi manfaat kepada rakyat ketika itu.

Golongan yang hairan kenapa pembangkang tidak membentangkan bajet alternatif adalah golongan yang tidak memahami sistem demokrasi negara.

Kerajaan Pusat bertanggungjawab menyediakan bajet manakala pihak pembangkang bertanggungjawab melakukan semak dan imbang. Dan rakyat bakal menilai peranan kedua pihak tersebut.

Dato’ Haji Hakim Hamidi

Penganalisis Politik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *