October 16, 2024

Saya sering kali ditanya, “Kenapa saya menyertai PAS?” Mungkin ramai yang terkejut kerana saya sudah sekian lama bersama UMNO, bahkan terlibat secara langsung membantu abang saya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Bagan Datuk, Perak. Selama bertahun-tahun, saya meluangkan masa dan tenaga untuk menyantuni penduduk Bagan Datuk, membantu menyelesaikan pelbagai urusan masyarakat, menyampaikan bantuan, dan menghadiri pelbagai majlis – baik perkahwinan, bencana, majlis kesyukuran, kematian, mahupun aktiviti-aktiviti setempat.

Kehadiran saya di majlis-majlis tersebut bukan sekadar sebagai individu, tetapi penduduk kampung sering melihat saya sebagai wakil keluarga Hamidi. Ini menimbulkan kebanggaan buat penduduk Bagan Datuk, kerana mereka merasa dekat dengan keluarga Timbalan Perdana Menteri. Walaupun kini saya memilih jalan politik yang berbeza, hubungan persaudaraan saya dengan abang dan keluarga tetap utuh. Parti boleh berbeza, tetapi tali silaturahim tidak akan terputus.

Mewarisi Perjuangan Bapa

Keputusan saya menyertai PAS sebenarnya bukan sesuatu yang baru atau tiba-tiba. Ia adalah suatu warisan yang saya ambil daripada bapa saya, Hamidi Bin Abdul Fatah. Beliau bukan sekadar seorang guru agama di Maahad Ulum Bagan Datuk, tetapi juga seorang aktivis PAS yang berdedikasi, yang berdakwah dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Bapa saya turut terlibat dalam mesyuarat Pemuda PAS Malaysia di Bagan Datuk, tempat mesyuarat kedua selepas PAS ditubuhkan.

Namun begitu, ketika abang saya menyertai UMNO, bapa saya memilih untuk bersama UMNO juga. Pada masa itu, bapa saya melihat UMNO sebagai parti Melayu yang masih komited dalam menjaga agama Islam. Walau begitu, hatinya masih bersama perjuangan PAS, terbukti dengan langganan akhbar Harakah yang tetap dipegangnya untuk mendapatkan berita alternatif.

Perubahan dalam UMNO

Namun, kini keadaan sudah berubah. UMNO yang dulu menjaga hak Melayu dan agama Islam dengan tegas, kini semakin lemah. Kekuatan Melayu semakin terhakis, dan agama Islam sering kali dipermainkan oleh individu-individu tertentu. Saya melihat UMNO sudah tidak lagi seperti zaman saya. Kepercayaan saya pada perjuangan asal UMNO mula pudar.

Inilah yang membuatkan saya kembali kepada akar perjuangan keluarga saya – kembali kepada PAS. Saya yakin hanya PAS yang masih mampu mempertahankan hak Melayu dan kedaulatan Islam di tanah air ini. Seperti mana yang pernah disuarakan oleh Tun Abdul Razak pada 1973, apabila UMNO dalam masalah, orang Melayu harus bersatu bersama PAS. Kita semua perlu sedar bahawa jika kita tidak bersatu mempertahankan hak kita, keadaan akan menjadi semakin parah.

Seruan untuk Bersatu

Oleh itu, saya menyeru kepada semua, marilah kita bersatu demi mempertahankan kedaulatan Melayu dan agama Islam. Kita tidak boleh membiarkan pihak yang mengetepikan hak orang Melayu di luar bandar dan yang tidak menghiraukan masalah rakyat terus memegang kuasa. PRU-16 nanti, pastikan kita menolak pihak-pihak yang telah merosakkan nilai-nilai teras negara ini.

Semoga dengan bersatu, kita mampu mengembalikan kegemilangan Melayu dan Islam di negara kita.

DATO’ HAJI HAKIM HAMIDI
Penganalis Politik PAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *