October 16, 2024

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta menyediakan laporan berhubung video seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar yang mengalunkan bait bahasa Arab yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata JAKIM juga perlu membawa perkara itu kepada tindakan pihak berkuasa agama Islam negeri terbabit iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti Negeri Kedah.

Terjemahan :
“Wahai Syaikh kami, Wahai Syaikh kami Syaikh Zainul Asri, Wahai kekasih kami,
Wahai kekasih kami. Kami mencintaimu kerana Allah.

KAMU WALI KAMI, KAMU IMAM KAMI”

“Sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau perlu ditangani dengan segera kerana sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit dua saat memaparkan pendakwah lelaki dan sekumpulan pelajar yang mengalunkan bait bahasa Arab yang didakwa sebagai satu tindakan memuja guru agama secara melampau.

Mohd Na’im turut meminta agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan khususnya JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk melipatgandakan usaha memberikan kefahaman kepada masyarakat berkaitan asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *