November 24, 2024

Gambar dari instagram Rita Rudaini

KUALA LUMPUR: Selama 15 tahun menggalas tugas sebagai ibu tunggal dalam membesarkan dua cahaya mata lelaki semestinya memberi seribu satu cabaran buat aktres Rita Rudaini.

Mengambil peranan ibu dan bapa dalam satu masa membuatkan pelakon yang mula dikenali selepas menyertai program pencarian bakat, Dewi Remaja edisi 1998/1999 itu berdepan rasa bimbang sekiranya gagal mendidik anak dengan baik.

Justeru, Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, berkata dia sentiasa menerapkan dan mendidik dua anak, Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, dengan adab yang baik kerana itu perlu diutamakan.

“Sebenarnya, saya paling takut gagal mendidik anak menjadi manusia beradab. Dari segi akademik, tiada masalah saya okay sebab masing-masing ada bakat dan tahap tersendiri.

“Tapi, bila datang soal perangai, adab dan berkaitannya, itu yang membuatkan saya paling takut. Saya bimbang anak-anak membesar dengan sikap kurang ajar atau tidak beradab dengan orang.

“Kalau soal akademik kita boleh belajar. Bagi saya, adab perlu diutamakan barulah akademik atau sukan. Kalau akademik bagus, tapi tiada adab tak berguna.

“Saya selalu cakap dengan anak-anak, kalau pandai sekalipun, tapi kurang ajar, orang tak akan pandang dan hormat. Tapi, kalau kita tak bijak, tapi beradab orang akan suka dan sayang,” katanya kepada BH Online.

Menurut Rita, pengalaman lalu termasuk ketika membesarkan anak membentuk dirinya menjadi wanita dalam versi terbaik ketika ini, malah tidak menafikan wanita adalah golongan kuat.

“Selain itu, pengalaman juga membentuk diri saya menjadi seperti sekarang. Ini semua adalah pengalaman saya dalam membesarkan anak-anak. 

“Jadi, itu yang banyak membentuk diri saya. Saya setuju dengan kenyataan bahawa wanita adalah seorang yang kuat. Sama ada dengan suami atau tidak, wanita adalah individu yang kuat sebenarnya. 

“Sebab itu, wanita diberi keistimewaan melahirkan anak sebab kita kuat dan boleh tahan kesakitan,” katanya yang ditemui selepas sesi rakaman Podcast Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 di Balai Berita, Bangsar, di sini, baru-baru ini.

Rita pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan pada 2008. Bagaimanapun, ikatan perkahwinan berakhir dengan perceraian pada September 2013.

Atas pengorbanan Rita membesarkan anak-anak seorang diri terbayar apabila namanya diumumkan sebagai penerima Ibu Ikon, Anugerah Wanita Ikon 2024/2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), baru-baru ini.

Acara penyerahan anugerah itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Sementara itu, mengulas karier lakonan, Rita yang meraih populariti menerusi filem Mami Jarum pada 2002 berkata, dia masih menerima pelbagai tawaran, namun, hanya memilih yang bersesuaian.

“Sekarang saya dalam fasa menerima ajakan dan pujukan kawan-kawan untuk berlakon. Sebenarnya, saya sudah mula untuk memperlahankan karier lakonan.

“Umur saya bakal memasuki 49 tahun, jadi saya tak mahu tua di set penggambaran. Saya mahu habiskan banyak masa di rumah bersama anak-anak. 

“Jadi, walaupun ada kawan pujuk, saya akan tengok watak juga. Sekiranya bersesuaian dan tak mengganggu masa, saya akan ambil. Dalam setahun, hanya satu produk sudah cukup buat saya. 

“Saya juga ada bisnes sendiri untuk diusahakan,” katanya yang membolosi dalam kelompok Top 20 bagi kategori Aktres Pembantu TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.

Rita menyifatkan pencalonan kali ini adalah rezeki untuk dirinya termasuk rakan artis ‘senior’ kembali bersinar di pentas ABPBH.

Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.

ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *