November 24, 2024

Misteri kehilangan warga Malaysia, Goh Beng Shong bersama teman wanitanya, Ng Yin Yin di Bangkok membawa kepada penemuan yang tidak dijangka apabila pihak berkuasa Thailand mengesahkan bahawa Goh telah meninggalkan negara itu pada 7 Sept.

Ibu Goh, Tan Lee Lie, 60, yang melakukan perjalanan dari Pulau Pinang ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya yang berusia 21 tahun, berkata dia menghubungi kedutaan Malaysia di Thailand untuk mendapatkan bantuan. 

Tan, yang kali terakhir bercakap dengan anaknya pada 5 Sept, berkata anaknya telah menghubunginya, meminta bantuan. 

“Dia berkata dia berada di Bangkok dan bertanya kepada saya bagaimana untuk memesan telur dadar dalam bahasa Thai. Itu kali terakhir kami bercakap,” katanya kepada Bernama semalam.

Menurut Tan, Goh mempunyai empat tempahan penerbangan berasingan di bawah namanya – Pulau Pinang ke Bangkok pada 4 Sept, Bangkok ke Frankfurt (7 Sept), Frankfurt ke Doha (12 Sept) dan Doha ke Kuala Lumpur (13 Sept).

ADS

Diiringi oleh pegawai konsular dari kedutaan Malaysia Marwan Mustafa Kamal, Tan yang bekerja sebagai pembantu dapur dibawa ke pejabat Thai Airways dan Jabatan Imigresen Thailand untuk mengesan keberadaan anaknya.

“Saya berjaya mendapatkan maklumat penerbangan di bawah namanya. Hari ini, kami pergi ke pejabat Thai Airways dan Imigresen dan dimaklumkan anak saya berlepas dalam penerbangan ke Frankfurt pada 7 Sept.” 

Sebelum terputus hubungan, Goh memberitahu ibunya bahawa dia bekerja sebagai pemandu dan majikannya merancang untuk membawanya dalam lawatan kerja ke United Kingdom pada September.

ADS

“Saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah keluarga teman wanitanya membuat laporan orang hilang dan saya dihubungi oleh polis,” katanya sambil menambah bahawa dia membuat laporan polis pada 14 Sept.

Tan berkata anaknya adalah seorang yang perahsia.

“Saya tidak tahu dia mempunyai teman wanita dan saya tidak tahu tentang kawan-kawan sosialnya.” 

Tan berharap mendapat bantuan daripada kedutaan Malaysia di Jerman dan Wisma Putra untuk membantu mencari anaknya. 

“Saya merayu kepada pihak berkuasa untuk membantu mencari anak saya. Sudah hampir sebulan sejak kali terakhir saya bercakap dengannya.” 

Dilaporkan bahawa Goh dan Ng, 23, hilang selepas pergi ke Bangkok dan kedua-dua keluarga tidak dapat menghubungi mereka.

-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *