November 27, 2024

Bella dan Muaz lebih selesa berkawan, saling menyokong antara satu sama lain. - NSTP/Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Jika dilihat luaran, hubungan antara pelakon sensasi, Muaz Zabir dan Bella Astillah boleh dikatakan semakin manis, bahkan ada juga yang menyifatkan bibit cinta mula mekar mewangi.

Kehadiran pasangan sensasi itu ke acara hiburan sering mencuri perhatian ramai, apatah lagi sering berpakaian sedondon termasuk hadir majlis pengumuman Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36, baru-baru ini.

Baru-baru ini, ada juga peminat mendakwa pernah melihat Muaz mengenakan aksesori milik Bella ketika menghadiri acara hiburan, lantas mengundang pelbagai spekulasi mengenai hubungan mereka.

Barangkali seperti andaian ramai, persamaan warna pakaian adalah sesuatu dirancang, namun, tanggapan itu pantas ditepis Muaz dengan menegaskan itu hanyalah kebetulan.

Muaz menafikan, dia dan Bella sentiasa merancang mengenakan pakaian sedondon ketika hadir acara hiburan, selain menegaskan tiada sebarang ‘janji’ dibuat untuk tampil sedondon.

“Sebenarnya, ini hanya satu kebetulan. Ketika majlis pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 36 pun kami kebetulan mengenakan warna pakaian sama.

“Tapi, percayalah kami tak pernah merancang atau saya ajak Bella untuk pakai warna sama. Lagipun, putih memang warna pilihan saya dalam kebanyakan acara dihadiri,” katanya kepada BH Online.

Sejak Bella bercerai dengan bekas suami, Aliff Aziz, ramai dilihat mula membenarkan atau memberi lampu hijau kepada Muaz untuk mendekati wanita kelahiran Sandakan, Sabah itu, malah, ada mendoakan mereka bertemu jodoh.

Bagaimanapun, Muaz berkata, dia tidak melihat itu sebagai satu peluang biarpun tempoh edah Bella berakhir dan ketika ini, hanya selesa sebagai kawan.

“Bella habis edah sekalipun saya tak anggap ia satu ruang atau peluang keemasan perlu direbutkan, tapi apa yang saya boleh cakap, kami berkawan dan akan datang ada projek bersama. 

“Kami akan berjumpa dalam masa terdekat, jadi tidak boleh untuk bermasam muka. Kami macam biasa teruskan kehidupan masing-masing dan buat yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai sokongan diberikan sejak kebelakangan ini termasuk kehadirannya ke Konsert Jiwa Malaysia 2024 semasa persembahan Bella, Muaz berkata, dia hanya menyokong rakan artis.

“Mengenai sokongan diberikan kepada Bella, saya ada hak untuk sokong rakan artis atau mereka yang saya senangi. Kalau ada peluang untuk sokong rakan artis lain saya akan buat.

“Sebagaimana saya sokong Riena Diana dan Ellie Suriati untuk teater mereka. Jadi, kalau ada kelapangan untuk saya sokong atau membantu sesama artis lain, apa salahnya,” kata Muaz.

Pada masa sama, Muaz berkata, dia hanya mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap bidang lakonan termasuk menjalani hidup seperti biasa.

“Alhamdulillah, tawaran sentiasa, itulah rezeki saya. Saya juga mahu beri komitmen 100 peratus untuk kerja supaya orang nampak usaha perbaiki kekurangan diri,” katanya.

Sementara itu, Bella menyifatkan belum masa untuk dirinya kembali menjalin hubungan serius dengan sesiapa kerana mahu memberi fokus dalam membesarkan dua cahaya mata.

“Saya rasa belum masanya dan belum berminat (menjalin hubungan). Saya sedang menikmati masa yang ada sekarang terutama dengan anak-anak dan keluarga. 

“Saya juga masih dalam fasa penyembuhan, jadi saya bersyukur kerana ada keluarga di belakang sentiasa menyokong. Dalam masa sekarang, saya banyak bersama keluarga,” katanya.

Bella berkata, dirinya masih lagi dalam fasa penyembuhan hati yang terluka kerana itu lebih mustahak berbanding mencari pengganti bekas suami.

“Saya tidak ada tetapkan masa untuk mencari pengganti atau kembali membuka pintu hati. Tapi, sekarang saya mahu fokus kepada anak-anak. 

“Komitmen banyak untuk keluarga dan anak-anak. Kalau ada pasangan, saya akan ada komitmen baru pula. Saya tak pernah terfikir dan biarlah luka ini sembuh sepenuhnya,” katanya.

Biarpun masih dalam fasa menyembuhkan hati yang terluka, Bella berkata, dia tidak boleh terus membiarkan dirinya larut dalam kesedihan dan perlu bangkit menjalani kehidupan.

“Sebenarnya, saya masih dalam fasa menyembuhkan diri dan mahu bangkit. Apa yang pernah menimpa membuatkan saya jatuh, kalau boleh saya tak mahu lagi sebarkan aura sedih. 

“Tapi, bagi sesiapa yang tengah bersedih, saya tidak kata ia salah. Perasaan sedih tiada masalah kerana saya juga ada ketika merasakan sebegitu,” katanya.

Muaz yang juga bekas peserta program realiti, Fit For Action terbitan TV3 tercalon dalam ABPBH 36 menerusi dua kategori, iaitu Artis Baharu Lelaki Popular dan Pelakon Pembantu Lelaki Popular. 

Bella mengisi senarai pencalonan dalam dua kategori ABPBH 36, iaitu Aktres TV Popular dan Artis Sensasi Popular.

Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.

ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *