December 18, 2024

Keadaan banjir kilat di kawasan Kota Kemuning petang tadi. - Foto IHSAN BOMBA

SHAH ALAM: Beberapa kawasan rendah di sekitar Jalan Kebun, Seri Muda dan Kota Kemuning di sini, dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan sejak jam 2 petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya mendapati di sesetengah lokasi, paras banjir kilat mencapai kedalaman 0.6 meter.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemantauan di Jalan Kebun manakala pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas membuat pemantauan di kawasan Kota Kemuning.

“Setakat ini keadaan terkawal dan tiada pemindahan yang dilakukan dan air sudah surut ketika ini. Anggota membuat kerja-kerja pemantauan di sekitar kawasan banjir,” katanya.

Sementara itu, netizen berkongsi video dan gambar menunjukkan banjir menenggelamkan jalan utama sekitar Jalan Kebun dan Kota Kemuning termasuk kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa dan SK Kota Kemuning.

Bencana yang melanda juga menyebabkan banyak kenderaan milik penduduk yang terkandas akibat terperangkap dalam banjir.

Menerusi Facebook rasmi Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga, rumah jagaan warga emas di bawah LZS iaitu Bait Al-Mawaddah di Jalan Kebun turut dilanda banjir kilat.

Jumaat lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula hari ini berterusan sehingga November ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *