December 18, 2024

Ira mengakui Syamsul ada membuat beberapa tuntutan selepas bercerai pada 5 September.

GOMBAK: Ira Kazar mengakui bekas suaminya, Syamsul Yusof ada membuat beberapa tuntutan ke atasnya selepas bercerai pada 5 September. 

Perkara itu disahkan oleh peguam syarie mewakili Ira, Mohammad Fadhil Abdul Razak yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, petang tadi. 

“Ya, pihak sana ada meminta pulangkan, tapi sudah tentu kami tidak bersetuju kerana perkara ini berlaku ketika dalam perkahwinan. Kami pun faham, takkan nak minta balik. 

“Sebab itulah apabila surat dihantar untuk anak guam saya membuat pemulangan beberapa perkara, kami sudah respon.

“Kami bukan beri maklum balas kosong, tapi kami memberikan cadangan macam mana nak selesaikan perkara ini. Cuma, setakat ini, belum ada kata putus dan persetujuan dari pihak sana,” katanya. 

Bagaimanapun, Mohammad Fadhil memberitahu, pihaknya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai tuntutan berkenaan demi menghormati kedua-dua pihak.

“Sama ada dari pihak sini atau pihak sana akan dedahkan juga. Cuma, setakat ini, kami sahkan pihak sana memang ada minta dan kami sudah beri maklum balas.

“Kami ada alasan kami tersendiri untuk tidak bersetuju memulangkannya. Ini bukan suka-suka, kami nyatakan dari segi hukum syarak kenapa tidak bersetuju,” katanya. 

Sementara itu, ditanya mengenai reaksi Ira atau nama sebenarnya sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, mengenai tuntutan daripada bekas suaminya, Ira enggan mengulas lanjut. 

“Saya tidak mahu komen. Saya takut cakap akan salah tafsir,” katanya. 

Hari ini, mahkamah memerintahkan Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, membayar kos kehadiran ke mahkamah RM200 kepada Ira Kazar. 

Keputusan dibuat oleh Hakim Maizatul Aliza Chee Din pada prosiding yang berlangsung pada pukul 3 petang tadi. 

Mohammad Fadhil berkata, pihaknya memohon kos kehadiran RM3,000 kerana menyusahkan pihak defendan iaitu Ira dan plaintif (Syamsul) tidak berterus terang kerana wujudnya lafaz taklik di luar mahkamah pada Jun lalu. 

Pada 5 September lalu, Syamsul dan Ira bercerai talak satu dengan Ira di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor. 

Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *