December 18, 2024

Sejajar dengan titah Yang di Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim bersempena dengan hari keputeraan baginda tempohari maka atas sifat kejujuran seperti yang disebut oleh baginda, CEO GISB, Nasaruddin Mohd Ali wajar menyerahkan kembali Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk kepada kerajaan negeri Melaka.

Walaupun negara ini berpandukan “prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah” namun atas dasar integriti, CEO yang juga Pengerusi Eksekutif GISB sepatutnya mengambil jalan profesional bagi meredakan konflik yang melanda pertubuhan tersebut. Penyerahan kembali gelaran tidak membuktikan beliau bersalah tetapi lebih kepada integriti bersifat peribadi serta pertubuhan dan terserah kepada kerajaan Melaka untuk menentukannya.

Beberapa pemimpin kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH) dan isterinya antara ditahan polis awal pagi tadi dalam Op Global susulan laporan rumah amal kendalian syarikat itu didakwa melakukan penderaan, pengabaian serta salah laku seksual.

Penahanan itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan maklumat lanjut akan diumumkan nanti.

Turut ditahan isterinya serta dua anaknya bagi membantu siasatan juga yang ditahan adalah anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.

Polis juga mengesahkan lima suspek yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah dalam perjalanan ke Thailand dengan menggunakan kenderaan rekreasi (motorhome) berlogo GISBH direman tujuh hari, bermula hari ini.

Tiga lelaki yang mempunyai kaitan dengan GISBH yang ditahan dalam Op Global baru-baru ini akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak.

Difahamkan suspek berusia 20 hingga 22 tahun itu merupakan pekerja di sebuah madrasah di Kuala Pilah.

Sebelum ini polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.

Ketua Polis Negara, Razarudin sebelum ini memaklumkan ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

PDRM juga sudah membekukan 96 akaun milik syarikat terbabit bernilai lebih setengah juta ringgit.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Selasa lalu menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *