November 23, 2024

Melaka menyambut baik saranan Yang di Pertuan Agong ke-17 berhubung penarikan balik mana-mana anugerah yang membawa apa sahaja gelaran jika penerimanya mencemarkan nama baik negara atau melakukan jenayah dan telah dihukum oleh mahkamah.

Titah dari Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersempena dengan hari keputeraan baginda adalah tepat pada masanya. Integriti negeri dan negara perlu didahului dan sesiapa pun penerimanya tidak akan terlepas dari dikenakan tindakan menarik balik Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat termasuk dari negeri Melaka.

Menurut sumber, walaupun penerima darjah negeri Melaka telah melepasi saringan dan mendapat anugerah gelaran tertentu namun setiap penerima akan sentiasa terikat dengan menjaga nama baik kerajaan negeri Melaka.

Dalam tinjauan MalaysiaHot, Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holding yang baharu saja mendapat anugerah ‘Datuk’ juga sedang mendapat perhatian kerajaan negeri Melaka.

Ini berikutan isu-isu yang sedang terkait dengan syarikat tersebut termasuk isu penderaan kanak-kanak(kes liwat), perjalanan syarikat terutama ada laporan mengatakan pekerja tidak dibayar gaji dan ada juga dakwaan mengatakan GISB bukan sahaja sebagai sebuah syarikat perniagaan tetapi juga lebih kepada sebuah ‘ajaran’ yang bertentangan dengan syariat Islam yang sebenar.

Menurut laporan, ini termasuk amalan “tabaruk” kononnya membawa berkat dengan barang peninggalan arwah pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad dan arwah isteri beliau, Hatijah Amm.

Menurut Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali bagi membantu siasatan dalam Op Global.

Polis mengesahkan berlaku penderaan seperti dipukul, dirotan, ditekan pada dada selain dijadikan buruh paksa, terhadap kanak-kanak rumah amal kendalian syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang berkata, pemeriksaan turut mendapati terdapat unsur penderaan fizikal, emosi, pengantunan (child grooming) dan kekurangan zat makanan.

Tambah sumber, tiada siapa yang terkecuali apabila melibatkan imej negeri Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *