September 19, 2024

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mengkritik Dewan Ulama PAS kerana memberi ‘lampu hijau’ kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor terlibat dalam aktiviti karaoke.

Menurutnya, kenyataan pemimpin Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya baru-baru ini memperlihatkan sikap pilih kasih yang jelas dalam parti tersebut.

“Walaupun Ahmad Yahaya mendakwa karaoke dibenarkan menurut hukum Islam, negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS telah melarang semua perniagaan karaoke.

“Sikap tidak istiqamah ini menimbulkan persoalan yang jelas: Mengapa pemimpin PAS seperti Sanusi boleh menikmati karaoke, tetapi orang biasa di Kelantan tidak boleh?

“Ia hipokrasi yang terang-terangan,” kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Ahmad semalam menyatakan dia sudah lama berkawan dengan Sanusi dan mengakui tiada unsur dosa dalam perbuatan Sanusi.

Lim berkata PAS sering bercakap tentang menegakkan nilai agama yang ketat, tetapi apabila melibatkan pemimpin mereka sendiri peraturan tersebut kelihatan lebih longgar.

“Di satu pihak, pemimpin PAS mempertahankan karaoke selagi ia tidak bertentangan dengan hukum Islam, tetapi di pihak lain, mereka mengenakan larangan penuh terhadap aktiviti yang sama untuk orang awam di Kelantan.

“Ini bukan hanya mengenai karaoke — ia mencerminkan isu berat sebelah yang lebih mendalam dalam PAS. Parti ini cepat mengenakan sekatan ke atas rakyat biasa tetapi membenarkan pemimpinnya bertindak di luar batasan itu.

“Jika PAS mahu dilihat sebagai parti yang berwibawa dan mengekalkan keyakinan rakyat, mereka perlu berhenti menyampaikan sesuatu perkara tetapi pada masa sama berbuat yang lain,” katanya.

“Sebuah parti tidak boleh diambil serius jika ia terus mengenakan peraturan kepada orang lain yang ia sendiri tidak mahu patuhi,” kata Lim lagi.

Isu ini timbul semasa Muktamar PAS apabila wakil PAS Perlis Mohd Saifizi Saidon mengkritik kepimpinan parti kerana didakwa gagal memantau kualiti pemimpin dan menteri besar di negeri-negeri yang dipimpin oleh parti tersebut.

Katanya moral dan asas kepimpinan Islam diabaikan berbanding pada masa lalu ketika PAS lebih tegas dalam mengawal disiplin kepimpinan mereka, termasuk penglibatan dalam aktiviti karaoke.

Menurut perwakilan itu, PAS dahulu tegas dalam menguatkuasakan disiplin, seperti kes bekas ahli parlimen Parit Buntar, Hashim Gera, yang digantung keahlian parti pada tahun 1972 kerana terlibat bersama-sama pemimpin BN ikut berjoget lambak pada satu majlis di lobi parlimen.

“Namun pada hari ini PAS semakin jauh daripada asas tersebut.

“Terdapat pemimpin yang berkaraoke dipertahankan oleh ulama PAS. Lebih menyedihkan lagi, ada pemimpin yang bersalam dengan wanita tidak dikenakan tindakan, bukan sekali tetapi berkali-kali,” kata wakil PAS Perlis itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *