September 19, 2024

MENDIANG Dr Tay Tien Yaa. Foto media sosial

Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggambarkan kematian seorang pakar patologi yang berdedikasi dari Hospital Lahad Datu, Sabah, sebagai kehilangan tragis.

Presiden MMA Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira menyifatkan nasib menimpa pegawai perubatan itu sebagai situasi menekan yang menunjukkan wujud kebimbangan serius mengenai isu kesihatan mental dan kesejahteraan dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

Oleh sebab itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JPN) untuk mempercepatkan siasatan sambil menuntut ia perlu dilakukan secara teliti.

“MMA amat berduka cita dengan pemergian seorang doktor yang berdedikasi yang bertugas di Hospital Lahad Datu, Sabah. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan sekerja beliau dalam tempoh yang sukar ini.

“Kami juga dengan hormat meminta orang awam untuk tidak membuat spekulasi dan memberikan ruang untuk melakukan proses yang sewajarnya.

“Komuniti perubatan memantau situasi ini dengan teliti dan kami menghargai maklum balas yang pantas dan telus. MMA tetapi komited untuk meningkatkan kesihatan mental, kebajikan dan keadaan kerja membabitkan semua profesional kesihatan termasuk memastikan sokongan persekitaran kerja yang selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati petugas kesihatan yang berdepan masalah untuk menghubungi MMA melalui platform Helpdoc menerisi emel helpdoc@mma.org.my.

Pagi tadi, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengarahkan siasatan lanjut dibuat susulan kematian seorang pakar patologi dari Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr Tay Tien Yaa, yang didakwa akibat dibuli di tempat kerja.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi sama sekali terhadap sebarang perbuatan buli dan pendekatan sama juga sudah diamalkannya sejak 2018 lalu iaitu ketika pertama kali beliau memegang jawatan Menteri Kesihatan.

Semalam, tular satu muat naik di Facebook yang memaklumkan seorang doktor yang ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah, pada 29 Ogos lalu, didakwa disebabkan tindakan bunuh diri, berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

Perkara itu didedahkan adik mangsa, dikenali sebagai YS Tay yang mendakwa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa, berkhidmat di Hospital Lahad Datu, Sabah, ditindas oleh ketua jabatan selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *