September 19, 2024

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menegaskan sistem perbankan mereka kekal selamat dan sentiasa mengutamakan kepentingan pelanggan susulan dakwaan yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam Kenyataan hari ini, Bank Rakyat memaklumkan mereka memandang serius kebimbangan yang timbul daripada dakwaan itu dan komited terhadap ketelusan, selain terus menambah baik daya tahan operasi untuk memastikan perkhidmatan perbankan kekal kondusif serta selamat.

“Bank Rakyat kekal komited terhadap ketelusan dan mengutamakan kepentingan pelanggan menerusi pembangunan teknologi secara berterusan bagi terus mempertingkatkan kekukuhan dan menambah baik daya tahan operasi.

“Ini untuk memastikan Bank Rakyat dapat menyediakan perkhidmatan perbankan yang kondusif dan selamat untuk pelanggan kami,” menurut kenyataan itu.

Bank Rakyat juga mengambil langkah proaktif dengan menghubungi pelanggan secara individu menerusi surat dan sistem pesanan ringkas (SMS), di samping meningkatkan kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan siber.

Selain itu, insiden berkenaan dilaporkan kepada pihak berkuasa dan Bank Rakyat memberi jaminan bahawa semua operasi perniagaan berjalan seperti biasa dengan integriti serta keselamatan perbankan kekal menjadi keutamaan.

Pelanggan yang mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan diminta segera menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1300-800-800 atau 03-5526-9200 serta Pusat Respons Scam Kebangsaan di 997.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *