November 24, 2024

Jue dan Ridwan mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos lalu di Masjid Abu Al-Darda, Nilai. - Foto IG Jue Aziz

KUALA LUMPUR: Pelakon Jue Aziz berharap dapat menimang cahaya mata sulung bersama suami, Ridwan Hussien sebelum ibunya yang kini sedang uzur berdepan sebarang perkara yang tidak diingini.

Jue atau nama sebenarnya, Zuliana Abdul Aziz, 41, berkata buat masa ini, dia masih berusaha dan sentiasa memanjatkan doa agar hajatnya itu tercapai.

“Buat masa sekarang, saya sedang dalam proses mencuba untuk hamil, memang kalau boleh saya tak mahu tunggu lama sebab emak saya pun bukan sihat mana.

“Emak selalu cakap teruja jika saya ada anak sendiri. Emak juga sekarang sedang sakit, jadi saya risau takut ada apa-apa yang terjadi.

“Sebab itulah saya kahwin cepat-cepat sebab mahu luangkan lebih banyak masa bersama emak. Saya juga senang nak ke mana-mana bersamanya,” katanya ditemui pada sidang media filem terbaharu, Miftah Alam di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Klang, hari ini.

Pada masa sama, pelakon drama Impak Maksima The Series ini mengaku tidak malu meminta orang ramai mendoakan agar urusan kehamilannya dipermudahkan.

“Saya tidak pernah segan minta doa daripada sesiapa untuk cepat hamil sebab dulu saya tunggu lama, tapi tidak berjaya.

“Sekarang saya memang gigih periksa waktu subur dan sesuai hamil sebab saya sudah 41 tahun. Kalau lambat takut mak tak sempat tengok.

“Itu yang saya sedih sebab saya seorang sahaja dalam adik-beradik yang tidak ada anak. Ada sekarang anak angkat sahaja,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkahwinan bersama Ridwan, Jue berkata, mereka saling memahami antara satu sama lain dan berharap jejaka itu menjadi peneman hidup terakhir buat dirinya.

“Saya tidak memilih hanya orang kaya sahaja. Saya terima mana yang ditakdirkan untuk saya sejak dulu lagi. Saya terima siapa yang hadir, cuma paling penting saya boleh selesa dengannya.

“Kalau orang sayang atau ungkapkan cinta kepada saya memang ramai, tapi untuk dapatkan lelaki selesa, itulah yang mahal. Bila selesa, apa sahaja yang dibuat kita akan faham antara satu sama lain. 

“Sayang ini mudah untuk diungkapkan, tapi hendak cari yang selesa itu tidak mudah. Harap-harap inilah yang terakhir,” katanya.

Pada 18 Ogos lalu, Jue berkongsi video majlis pernikahannya yang berlangsung di Masjid Abu Al-Darda, Nilai, Negeri Sembilan di laman Instagram (IG) miliknya.

Untuk info, Jue mendirikan rumah tangga pada 2014 bersama pemuzik dari Indonesia, Bayu Parman, namun bercerai pada 2019.

Mereka tidak dikurniakan cahaya mata dan memiliki anak angkat, Darwish Naufal, 12.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *