November 25, 2024

Wanna menganggap tuduhan netizen mendakwanya mempunyai hubungan dengan Fattah sebagai tidak masuk akal. - - Foto IG Wanna Ali

KUALA LUMPUR: Pelakon Wanna Ali tiada niat mahu mengambil kesempatan atas berita perceraian Fattah Amin dengan Nur Fazura apabila memuat naik foto berbaju pengantin di sisi aktor itu dalam Instagram, semalam.

Wanna berkata, hantaran itu dimuat naik kerana memenuhi tuntutan tugas untuk drama lakonannya bersama Fattah berjudul Lelaki Melayu Terakhir.

“Hantaran ini memang sudah ditetapkan jadualnya semalam sebagai rangka promosi untuk drama Lelaki Melayu Terakhir.

“Semalam adalah babak kahwin, secara kebetulan saya memang sudah jadualkan untuk dimuat naik dalam IG.

“Drama pula tayang jam 10 malam, jadi takkan saya nak muat naik hantaran jam 12 malam?

“Saya buat hanya untuk tujuan promosi kerana itu kerja saya,” katanya.

Ujar Wanna, dia tidak menyangka hantaran itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan netizen, sekali gus menyangkal dakwaan mahu menumpang glamor.

“Saya tak menyangka berita rumah tangga mereka keluar serentak pada hari sama hantaran dibuat.

“Saya bukanlah nak tumpang glamor atau mencari publisiti. Saya tiada niat ke arah itu. Bagaimana saya nak tahu benda ini akan berlaku,” katanya.

Pada masa sama, Wanna menganggap tuduhan netizen mendakwanya mempunyai hubungan dengan Fattah sebagai tidak masuk akal. 

“Saya hanya muat naik hantaran berkaitan kerja, tetapi tiada angin tiada ribut dituduh skandal dan dilabel penyondol,” katanya yang menyifatkan netizen Malaysia terlalu sensitif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *