September 19, 2024

(Dari kiri ke kanan) Raja Harald, Putera Mahkota Marius Borg Hoiby, Puteri Mahkota Mette-Marit, Putera Sverre Magnus, Putera Mahkota Haakon, Permaisuri Sonja dan Puteri Ingrid Alexandra dari Norway. - Foto AFP

STOCKHOLM: Polis Norway hari ini memaklumkan, anak lelaki Puteri Mahkota Mette-Marit berusia 27 tahun ditahan kerana melanggar perintah larangan.

Marius Borg Hoiby pada awalnya ditahan pada 4 Ogos lalu berikutan berada semalaman di sebuah pangsapuri wanita di Oslo dan didakwa menyebabkan kecederaan fizikal kepada penghuni yang dipercayai mempunyai hubungan dengannya.

Laporan media Norway berkata, polis menemui sebilah pisau tersekat pada salah satu dinding bilik tidur wanita terbabit pada waktu itu.

“Pada awal September, polis menerima maklumat bahawa Marius Borg Hoiby dalam beberapa kesempatan menghubungi wanita itu secara tidak diingini, yang mempunyai status sebagai mangsa dalam kejadian ini,” kata polis dalam satu kenyataan hari ini.

“Mereka mengemukakan laporan untuk tingkah laku cuai dan mengeluarkan perintah larangan ke atas Hoiby,” katanya. 

Mereka kemudiannya menerima maklumat bahawa Hoiby telah melanggar perintah larangan dan dia ditangkap semula pada lewat malam tadi kerana risiko berulang.

Polis kini mengesyaki Hoiby terbabit dalam jenayah terhadap tiga mangsa lain iaitu penderaan domestik terhadap dua wanita dan ancaman terhadap seorang lagi individu. 

Peguam Hoiby, Oyvind Bratlien, berkata anak guamnya menafikan tuduhan itu.

“Sepanjang 17 tahun saya sebagai peguam bela, saya tidak pernah mengalami atau mendengar penangkapan atas dasar fakta dan undang-undang yang begitu rapuh,” kata Bratlien kepada penyiar NRK.

Hoiby dilahirkan pada 1997 dari hubungan sebelum Mette-Marit berkahwin dengan Putera Mahkota Haakon pada 2001, pewaris takhta Norway.

Dia dan adik-beradik tirinya, Puteri Ingrid Alexandra, 20 tahun dan Putera Sverre Magnus, 18 tahun dibesarkan bersama oleh Mette-Marit dan Haakon. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *