November 24, 2024

Kuala Lumpur: Kesemua 171 tangkapan Op Global, direman tujuh hari bagi membantu siasatan eksploitasi 402 kanak-kanak dari 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi melengkapkan siasatan serta tindakan susulan ke atas mangsa-mangsa.

“Kita perlu teruskan siasatan bagi melihat apa lagi tindakan yang boleh diambil, terutamanya dari segi pendidikan. Kita tahu bahawa yang berumur sepatutnya bersekolah, tapi ini tidak ke sekolah dan dia ada pendidikannya sendiri. Kita mungkin akan berhubung dengan kementerian pendidikan juga.

“Apabila dia buka rumah amal ini, kononnya untuk anak yatim, kita juga nak melihat adakah rumah amal ini didaftarkan, itu semua siasatan kita, daripada situ juga mungkin ada kesalahan-kesalahan lain yang kita boleh lihat lagi, akan ada saksi-saksi yang akan tampil,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Tambahnya, kesemua mangsa masih dalam proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan.

“Kita rasa perlu untuk kita ambil DNA, pasal bapa-bapa mereka, kita tahu adalah ahli-ahli GISB itu sendiri. Tentang aspek kesihatan dan kebajikan, agensi seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang sentiasa ada dengan kita dan ditempatkan di PULAPOL,” katanya.

Tambahnya lagi buat masa ini, kesemua premis yang diserbu semalam, ditutup buat sementara waktu, dan berkemungkinan akan diambil tindakan sita.

Semalam, 20 premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat tempatan menjalankan pelbagai perniagaan di seluruh negara dan beberapa negara lain, digempur Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Seramai 171 individu, termasuk 105 wanita berusia antara 17 hingga 64 tahun, dipercayai penyelia dan penjaga premis, ditahan.

Razarudin dalam sidang media semalam memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792], Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ATIPSOM [Akta 670].

Selain itu, kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa turut akan dilihat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *