September 19, 2024

Abang Bas' dibawa ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat bagi pertuduhan menggunakan TikTok dengan menghantar komen jelik dalam videonya, hari ini. - NSTP/Alias Abd Rani

BATU PAHAT: “Sabar Din, kami ada,” demikian kata-kata seorang ahli keluarga kepada ‘Abang Bas‘ yang sekali lagi dihadapkan ke mahkamah kerana menggunakan aplikasi TikTok dengan menghantar komen jelik dalam videonya, bulan ini.

Kata-kata itu didengari ketika ‘Abang Bas’ dibawa masuk ke dalam kereta polis sebaik selesai prosiding pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini sambil menitiskan air mata.

Suasana bertambah pilu apabila bapa kepada ‘Abang Bas’ muncul ketika kenderaan membawanya menanti ketibaan lelaki itu sambil ditemani ahli keluarga lain.

Sejurus melihat ‘Abang Bas’ dalam kereta, mereka kemudian berpelukan sambil menangis teresak-esak dan memohon supaya anaknya bersabar.

Difahamkan, kenderaan polis membawa ‘Abang Bas’ menunggu seketika selepas dimaklumkan bapanya dalam perjalanan ke mahkamah untuk melihat anaknya.

Sebelum meninggalkan mahkamah, ‘Abang Bas’ turut dilihat menghadiahkan ‘mini love’ kepada ahli keluarganya.

Terdahulu, lelaki berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Osman Affendi Mohd Shalleh.

Dia berhadapan tiga pertuduhan secara keseluruhan termasuk dua daripadanya di Mahkamah Sesyen Muar dengan keseluruhan ikat jamin RM40,000 dikenakan terhadapnya.

Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ianya tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Berdasarkan pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu merekodkan video ketika memandu bas sekolah, dengan wajah murid jelas kelihatan.

Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *