September 19, 2024

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pemilik syarikat bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta.

Sumber berkata, suspek berusia 30-an yang juga suami kepada bekas pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini. 

Katanya, penahanan lelaki itu susulan tangkapan terhadap isterinya yang kini ditahan reman selama enam hari sejak kelmarin bagi membantu siasatan.

“Wanita berusia 40-an yangj uga suspek utama dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2019 dengan menggunakan jawatannya bagi mencadang serta menyokong syarikat milik suaminya untuk mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dengan kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek ditahan dalam tempoh 24 jam dan bakal dibebaskan dengan jaminan SPRM sebaik proses merakamkan keterangannya selesai.

Media sebelum ini melaporkan seorang bekas pegawai eksekutif GLC ditahan bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan tuntutan palsu.

Wanita itu disyaki menyalahgunakan jawatannya untuk menyokong pelantikan syarikat milik suaminya bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta

Selain itu, suspek juga disyaki bersubahat dengan seorang lagi wanita yang juga pemilik syarikat berusia 50an dengan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung ujian saringan Covid-19 dan pembekalan barangan plastik masing-masing bernilai RM2,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *