November 23, 2024

MUKTAMAR PAS l Pemuda PAS hari ini meluluskan usul bagi mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatannya atau diturunkan dengan kadar segera.

Usul tersebut dibawa dan dibentangkan perwakilan Pemuda PAS Kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan yang kemudiannya dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara.

Dalam pembentangannya Abdul Abidi antara lain berkata tujuan usul tersebut bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, dan negara perlu memiliki kepimpinan baharu yang benar-benar kompeten serta mempunyai akauntabiliti untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Jelasnya, sudah cukup tempoh selama dua tahun diberikan kepada kepimpinan Anwar untuk melaksanakan dasar dan janji yang selama ini mereka laungkan.

“Namun, setakat ini satu persatu janji manis dilanggar. Bukan itu sahaja, kepimpinan PMX (perdana menteri ke-10) tidak pernah cuba menjadi kerajaan yang matang dan bertanggungjawab dalam mentadbir. 

“Sikap kepura-puraan dalam mentadbir serta keengganan mengambil tanggungjawab terhadap masalah ekonomi dihadapi negara menyebabkan rakyat makin meluat dengan pentadbiran PMX,” katanya pada sesi pembentangan usul Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Abdul Abidi turut mengemukakan empat asas pertimbangan isu membabitkan usul berkenaan.

Pertama katanya kerana kegagalan Anwar melunaskan janji-janji yang dilaungkan semasa kempen PRU dahulu.

“Kedua kegagalan PMX dalam menghapuskan rasuah, malah melepaskan perasuah dan diangkat sebagai orang kanan beliau. 

“Ketiga, kegagalannya menyelesaikan isu kos sara hidup yang membebankan rakyat dari hari ke hari dan terakhir penindasan yang dilakukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang dengan menafikan peruntukan,” jelasnya.

Perwakilan Pemuda PAS dari Pokok Sena, Hamadah Syauqi kemudian tampil menyokong usul yang mendesak Anwar supaya segera berundur.

“Kita bagi tempoh kepada beliau wahai ketua pemuda, kalau sebulan dia tak letak, dua bulan dia tak letak, setahun dia tak letak, kita akan memimpin kebangkitan rakyat turun ke jalan raya,” katanya.

Selain itu, usul lain turut diluluskan dalam muktamar agung tahunan tersebut membabitkan cadangan sejarah Palestin diangkat sebagai silibus dalam sistem pendidikan di bawah PAS.

Pemuda PAS turut menerima usul tergempar mengutuk campur tangan DAP dalam urusan umat Islam dan ia kemudiannya diluluskan sebulat suara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *