September 19, 2024

Ahli politik pelbagai parti tampil mengecam GISB Holdings Sdn Bhd susulan dakwaan kanak-kanak asuhan rumah amal mereka diliwat dan diajar meliwat.

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh berkata jika dakwaan itu benar, kumpulan itu hendaklah diharamkan dan tindakan berat harus dikenakan terhadap pelaku.

Dia justeru memohon pihak yang mempunyai maklumat atau berada dalam situasi sama memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Kita mohon juga pada pihak berkuasa untuk rempuh dan siasat di setiap cawangan mereka dan pastikan perkara ini tidak berlaku di tempat lain juga

“Perkara ini bukan (ajaran) Islam, ini dah ajaran syaitan,” katanya.

GISBH menafikan dakwaan kanak-kanak di rumah amal mereka diliwat dan diajar meliwat.

Syarikat yang dikaitkan dengan bekas anggota kumpulan haram Al-Arqam itu berkata rumah amal yang berdepan dakwaan itu bukan berada bawah kendalian mereka pun.

Katanya, mereka juga tidak mengamalkan dasar melaksanakan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam dan undang-undang. 

Tingkatkan pemantauan – Pemuda Amanah

Sementara, Pemuda Amanah menuntut tindakan tegas supaya pesalah dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.

Pergerakan itu juga meminta pemantauan terhadap semua institusi penjagaan kanak-kanak dipertingkat untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

“Pemuda Amanah menyeru masyarakat untuk bersama-sama mengutuk tindakan kejam ini dan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di negara kita,” kata pengarah komunikasinya Asim Abdullah Ainullotfi.

Pemuda Amanah menawarkan sokongan kaunseling dan perubatan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam mendedahkan polis menyerbu 18 premis sekitar Selangor dan Negeri Sembilan susulan dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan cabul.

Katanya, berdasarkan risikan dan keterangan, mangsa diajar meliwat, diliwat oleh penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.

GISBH disiasat bawah Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

GISBH sebelum ini beberapa kali menafikan sebarang perkaitan dengan kumpulan haram Al-Arqam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *