November 24, 2024

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa mendedahkan hubungan bersama bekas suami yang juga pemain dram kumpulan Padi, Yoyo sudah semakin baik selepas hampir 15 tahun berpisah.

Rossa berkata, hubungan mereka tidak ubah seperti abang dan adik, malah sentiasa bersama untuk membesarkan anak tunggal, Rizky Langit Ramadan yang kini berusia 18 tahun.

Rossa atau nama sebenar, Sri Rossa Roslaina Handiyani turut memberitahu, dia dan Yoyo saling memberi sokongan antara satu sama lain sama ada membabitkan karier atau kehidupan peribadi.

“Mungkin sudah lama kami bercerai, tapi saya sangat faham mungkin kadang-kadang pasangan itu serasi sebagai suami isteri, tapi ada pula mungkin dengan cara perceraian.

“Bagaimanapun, saya tidak menganggap perceraian satu perkara yang baik, tapi mungkin itu adalah salah satu cara untuk keluar daripada hal lebih tidak baik. Kalau saya teruskan, mungkin keadaannya tidak seperti sekarang. 

“Setiap orang mungkin berbeza, tapi saya dan Yoyo lebih kepada adik dan abang. Kami saling menyokong anak sebagai orang tua, termasuk menyokong karier dan kehidupan peribadi. Sudah seperti adik dan abang,” kata Rossa.

Ditanya sama ada Rizky menyatakan keinginan untuk melihat dirinya dan Yoyo kembali bersatu sebagai suami isteri, Rossa berkata, anaknya suka dengan hubungan mereka seperti ini.

“Rizky tidak memaksa kami kembali. Hubungan kami lebih baik sekarang. Bila tanya Rizky, dia jawab lebih suka seperti ini. Dia senang melihat kami bahagia,” kata Rossa ditemui selepas tayangan perdana dan sidang media filem yang menceritakan perjalanannya dalam industri muzik, iaitu All Access To Rossa 25 Shining Years di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, semalam.

Menerusi filem berkenaan, Rossa, Yoyo dan Rizky berkongsi luahan hati mengenai hal peribadi seperti apa yang berlaku terhadap keluarga dan bagaimana melalui fasa perceraian.

Penyanyi lagu Tegar dan Atas Nama Cinta itu juga mendedahkan, Yoyo adalah individu terakhir bersetuju untuk membuat perkongsian dalam filem dokumentari berkenaan. 

Dalam pada itu, Rossa berkata, dia bersetuju untuk berkongsi mengenai perceraiannya bersama Yoyo menerusi filem All Access To Rossa 25 Shining Years selepas merasakan segala-galanya sudah semakin baik.

“Sebetulnya, masalah perceraian adalah salah satu perkara cukup berat kerana mengenai keluarga. Tapi, saya minta persetujuan Rizky sama ada boleh atau tidak bercerita mengenai masalah keluarga kepada orang lain. 

“Saya faham, ramai anak atau wanita berdepan nasib sama seperti saya atau lelaki bernasib seperti Yoyo. Alhamdulillah, saya, Rizky dan Yoyo sudah berdamai dengan segala masalah.

“Kami berjaya menyelesaikan dengan baik dan tetap ada sebagai satu keluarga. Selepas berfikir, akhirnya kami setuju untuk menceritakan hal peribadi ini menerusi filem,” katanya.

All Access To Rossa 25 Shining Years akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 18 Oktober depan.

Filem dokumentari itu akan membawa penonton menyelami sisi lain kehidupan Rossa yang belum pernah ditampilkan bermula dari perjalanan karier, perjuangan sebagai ibu sehinggalah kisah di sebalik konsert solo 25 Shining Years Concert pada 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *