September 19, 2024

Gambar hiasan - FOTO AFP

CANBERRA: Pihak berkuasa Australia mengeluarkan amaran, hari ini, berhubung peningkatan kes kanak-kanak terjerumus dalam kegiatan menghasilkan kandungan seksual dan ganas secara dalam talian.

Polis Persekutuan Australia memberi peringatan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai trend semakin membimbangkan di negara ini yang menyaksikan golongan muda dipaksa untuk menghasilkan kandungan melampau, lapor Xinhua.

Menurutnya, jenayah siber dikenali sebagai ‘sadistic sextortion’ itu kian berkembang di mana komuniti dalam talian menyasarkan kanak-kanak seawal usia 12 tahun serta memberi tekanan kepada mereka supaya menghasilkan sendiri video ataupun imej perbuatan seksual atau ganas sebagai syarat untuk diterima ke dalam komuniti berkenaan.

Setelah imej atau video berkenaan dihasilkan dan dihantar kepada pelaku jenayah itu, ia akan dikongsi dengan ahli lain dalam komuniti terbabit yang seterusnya melakukan peras ugut dengan mengancam untuk menyebarkan bahan berkenaan kepada rakan atau keluarga mangsa sekiranya mereka enggan menghasilkan lebih banyak lagi kandungan melampau.

Malah, polis turut memaklumkan bahawa dalam beberapa kes, pelaku jenayah itu didapati sebaya dengan mangsa yang disasarkan.

Komander Eksploitasi Manusia, Polis Persekutuan Australia, Helen Schneider, berkata berdasarkan maklumat risikan diperoleh Pusat Membanteras Eksploitasi Kanak-Kanak Australia, kebanyakan pelaku jenayah itu sebenarnya didorong keinginan untuk meraih status atau pengaruh dalam kumpulan online ekstrem terbabit dan bukan bertujuan mengaut keuntungan kewangan.

“Pelaku terbabit tidak didorong oleh faktor keuntungan kewangan. Sebaliknya, mereka terdorong mengeksploitasi mangsa rentan untuk menghasilkan kandungan menjijikkan demi kepuasan peribadi.

“Malangnya, sesetengah mangsa dalam kumpulan terbabit tidak menganggap diri mereka sebagai mangsa. Mereka tidak menyedari bahawa mereka telah dipaksa melakukan perbuatan sangat teruk itu, justeru tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Schneider berkata, ibu bapa dan penjaga harus peka terhadap petanda amaran bahawa seseorang kanak-kanak itu sedang diantun – antaranya semakin banyak mengasingkan diri dan menghabiskan masa di hadapan skrin.

Beliau berkata, mereka sekali gus perlu bersedia untuk ‘berbual’ dengan kanak-kanak yang dipercayai terbabit dengan kegiatan berbahaya secara dalam talian.

Polis mengeluarkan amaran itu sempena Minggu Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan (NCPW), bertujuan mendidik rakyat Australia mengenai isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak. – BERNAMA-XINHUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *