September 19, 2024

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu bas yang memuatnaik rakaman video penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’, ditahan di Simpang Renggam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata penahanan pemandu berusia 24 tahun itu dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan pemandu itu untuk memuatnaik hantaran berkenaan di akaun media sosial miliknya.

“Semalam, polis kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan dan menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam sebuah bas dipandu seorang lelaki.

“Suspek memuatnaik rakaman video ke akaun media sosial TikTok Abang Bas dengan hantaran berkenaan masih wujud dan boleh diakses.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam tular di aplikasi TikTok seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ianya tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Berdasarkan pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu yang menggunakan nama ‘Abang Bas’ yang mempunyai lebih 600,000 pengikut, merekodkan video ketika memandu kenderaannya dengan wajah pelajar jelas kelihatan.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.

Dalam pada itu, Kumar berkata, pemandu bas itu disiasat mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana membawa maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak melalui apa sahaja cara secara berulang atau kerap.

Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001, kerana menyiarkan gambar kanak-kanak melalui apa-apa perantara elektronik.

“Bagi kedua-kedua kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali selain denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kumar menasihatkan ibu bapa sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan awal selain pelakunya dikenakan tindakan undang-undang.

“Orang ramai juga dinasihatkan jadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menyalahgunakannya. Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian boleh disalurkan ke talian Hotline Polis Johor 019-2792095, Hotline IPD Kluang 07-7766822 atau talian bilik gerakan IPD Kluang 014-3656822,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *