September 19, 2024

Tertuduh, Mohd Hamdi Hanafi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelakinya. - Foto NSTP/Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Seorang guru di sebuah sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki, tahun lalu. 

Tertuduh, Mohd Hamdi Hanafi ,47, membuat pengakuan itu selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri. 

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang pada kejadian itu berusia 15 tahun

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di dalam sebuah kereta dan sebuah rumah di Dungun pada 3 Ogos dan 10 Ogos 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan dua pertuduhan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama. 

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi semua pertuduhan. 

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Afiq Aziz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *