November 23, 2024

KUANTAN: Seorang pekerja syarikat logistik meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika mendaki Bukit Galing, dekat Jalan Haji Ahmad di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 32 tahun bersama tiga yang lain memulakan pendakian pada jam 9 pagi.

Beliau berkata, apabila tiba di puncak bukit jam 11 pagi, mangsa mengadu sesak nafas, sebelum pendaki lain menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

“Pada jam 1.10 tengah hari, anggota bomba tiba di lokasi dan mangsa diberikan bantuan awal oksigen sebelum dibawa turun menggunakan pengusung.

“Ketika dalam perjalanan turun ke kaki bukit, manga mengadu mengalami sakit di bahagian dada dan seterusnya tidak sedarkan diri. 

“Usaha menurunkan mangsa mengalami kesukaran kerana laluan yang curam dan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk tiba di kaki bukit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.

“Ahli keluarga memaklumkan mangsa yang masih bujang aktif mendaki dan tidak mempunyai sebarang penyakit.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mangsa dipercayai mengalami serangan jantung,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *