September 19, 2024

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Penjawat awam dan pelajar universiti awam (UA) antara 36 ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti persundalan seks bebas dengan bertukar pasangan atau ‘swinger’ yang dipromosi secara dalam talian.

Semua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di ibu negara dan Puchong, Selangor pada Ahad dan Selasa lalu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus, berkata serbuan dilakukan susulan risikan sejak Jun lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata, dua daripada 36 individu yang ditahan adalah pemilik laman sesawang ‘Swing That Fun’ yang dikesan mempromosi kegiatan persundalan secara dalam talian dan mampu meraih 147,000 pelanggan atau ‘subscriber’.

“Melalui risikan, kita dapati laman sesawang itu adalah platform mencari kenalan, berkongsi kandungan lucah, menyediakan perkhidmatan seks dan lain-lain dengan pakej berbayar.

“Kita kemudian mengesan satu kumpulan yang menganjurkan aktiviti ini (seks bebas bertukar pasangan) serta mempromosikan aktiviti persundalan itu dan membentuk komuniti seks bebas bagi tujuan keseronokan dan meraih keuntungan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Fadil berkata, dua serbuan dilakukan dengan serbuan pertama kira-kira jam 8.30 malam Ahad lalu bersama JAWI di sebuah kondominium di Mont Kiara, Sentul di sini.

“Kita menahan 34 individu terdiri warga tempatan dan asing yang dinamakan ‘Pet GB (Pet Gang Bang). Mereka terdiri 18 wanita dan 11 lelaki tempatan serta lima warga asing dari Perancis, China, Nigeria, Republik Czech dan Filipina.

“Semua yang ditahan berusia antara 19 hingga 41 tahun,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati antara warga tempatan yang ditahan terdiri pelajar UA, penjawat awam dan pekerja syarikat swasta.

“Dua daripadanya pula mempunyai rekod jenayah atas kesalahan mencuri, mencederakan orang tanpa senjata dan ugutan jenayah,” katanya.

Dalam operasi kedua pada jam 2.15 petang Selasa lalu, Fadil berkata polis menyerbu sebuah kondominium di Puchong dan menahan dua lelaki masing-masing warga Singapura dan warga tempatan dipercayai berperanan sebagai pemilik laman sesawang, penganjur aktiviti persundalan dan juga pemilik akaun bank keldai yang menerima bayaran daripada pelanggan.

“Polis turut merampas sejumlah wang tunai, peralatan komputer, telefon bimbit dan peralatan seks.

“Modus operandi kumpulan ini dengan berselindung di sebalik laman sesawang itu yang menawarkan khidmat mencari kenalan dan mencari keuntungan. Kita dapati, setakat ini ‘subsriber’ mereka melalui akaun keldai yang diwujudkan mengumpul 147,000 ahli dan kebanyakannya rakyat Malaysia. Ini cukup membimbangkan kita,” katanya.

Beliau berkata, bayaran untuk langganan akaun dibuat melalui kaedah pembayaran dalam talian ke satu akaun bank milik seorang lelaki tempatan dipercayai akaun keldai.

“Untuk menjadi ahli, subscriber perlu membayar RM388 dan untuk membentuk komuniti melakukan aktiviti seks bebas dikenakan yuran penyertaan RM400 seorang.

“Bayaran RM350 pula akan dikenakan kepada ahli yang mahu menyertai aktiviti bersama pasangan dan mereka bersama-sama boleh menyertai aktiviti ‘swing’ (bertukar pasangan seks),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan mendapati penganjur akan kerap menukar lokasi aktiviti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, penduduk setempat dan pengurusan kondominium.

“Aktiviti akan dimaklumkan sehari sebelum tarikh ditetapkan dan penganjur akan menyediakan tentatif kepada peserta seperti sesi suai kenal seterusnya menjalankan aktiviti seks secara berkumpulan dalam tiga bilik berasingan.

“Semua suspek ditahan reman dengan pertuduhan dicadangkan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan iaitu mempromosi, mengiklankan, menerbitkan dan menawarkan khidmat persundalan serta Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu memberi orang lain menggunakan akaun bank.

“Selain itu, Seksyen 377D Kanun Keseksaan (melanggar kesopanan dan perbuatan kelucahan melampau), Seksyen 377A Kanun Keseksaan (melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie) dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *