September 19, 2024

Anggota bomba hari ini menggunakan teknik ‘flushing’ ketika Operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan tanah jerlus membabitkan seorang wanita warga India di Jalan Masjid India

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa menghentikan kaedah penyelaman dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India awal pagi tadi, kerana terlalu berisiko.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata keputusan itu dibuat kerana terdapat halangan yang keras, ruang sempit dan keadaan arus air di saluran kumbahan itu selepas menghantar pasukan penyelam awal pagi tadi. 

“Selepas kita berbincang secara taktikal dan berdasarkan maklum balas daripada dua penyelam yang masuk dalam (saluran), saya dapat rumuskan ia terlampau berisiko untuk kita cuba meneruskan usaha secara penyelaman dan juga secara fizikal untuk mengesan mangsa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM, di sini hari ini.

Menceritakan detik cemas aktiviti penyelaman itu, Nor Hisham berkata, dua penyelam JBPM dan syarikat kumbahan melakukan selaman pada jam 4 pagi tadi.

Beliau berkata, selepas memasuki saluran kumbahan kira-kira 18 meter dari lokasi kejadian mendapati tiada ruang untuk meneruskan penyelaman, malah pasukan penyelam terpaksa meniarap untuk memasuki lokasi pencarian.

Katanya, aktiviti penyelaman juga dihentikan berikutan peningkatan air di saluran.

“Apabila kita hantar pasukan penyelam jam 4 pagi itu, saya pun ‘speechless’ (kehilangan kata-kata), berdebar sebab kita tengok tempat mereka masuk itu lebih kurang dalam dua kaki, mula meniarap dan merangkak.

“Kita cukup risau apabila mereka tersekat, ada ‘piston effect’ (kesan omboh) daripada air membuatkan mereka tak boleh mengundur, kita terus berkomunikasi dengan penyelam melalui telekomunikasi bawah air supaya dia selesa.

“Sebenarnya ia terlampau berisiko di lokasi 18 meter, ada bongkah yang tak boleh lalu, (penyelam) cuba terajang pun ia tak bergerak. Kalau dia pergi juga, dia mungkin boleh pergi sebab ditolak arus tetapi nak balik dari lubang itu kemungkinan kalah dengan ‘piston effect’, jadi sangat bahaya,” katanya.

Nor Hisham berkata, JBPM turut menghantar dua unit kamera bawah air di kawasan SAR dan merakam beberapa imej termasuk cebisan kain yang tidak dapat dikenal pasti.

“Walaupun kita dapat imej kain tetapi buat masa ini kita tak boleh katakan itu milik sesiapa sebab dalam (saluran) itu memang macam-macam (sisa) ada.

“Secara nyatanya berdasarkan kamera itu, tidak ada yang menunjukkan imej badan sebab ‘turbulence’ (arus) air bergerak begitu kuat,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, satu mesyuarat akan diadakan petang ini di Kuala Lumpur bagi menentukan hala tuju dan kaedah lain SAR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *