November 21, 2024

Ketika muncul khabar mengatakan PAS ada membincangkan cadangan menyertai kerajaan perpaduan, pemimpin tertinggi parti itu dipetik lidah rasminya sebagai sedang memilih langkah sebaliknya.

Menurut Mursyidul Am PAS Hashim Jasin parti itu “tidak akan memenuhi ajakan” untuk menyertai kerajaan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Alasan Hashim, kerana di dalam kerajaan sekarang ada Anwar Ibrahim dan DAP iaitu pihak yang pernah menjadi rakan kerjasama PAS sebelum ini.

“PAS tidak akan memenuhi ajakan pihak-pihak tertentu termasuk daripada Umno untuk bersama dan bercampur dalam kesepakatan politik yang adanya DAP,” katanya dipetik Harakahdaily hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Hashim sebagai berkata PAS sedang mengkaji kesan baik dan buruk jika mereka menyertai kerajaan sekarang, sekali gus mengakui ada usaha pihak tertentu menarik mereka menjadi kerajaan.

Malah, laporan Utusan Malaysia itu menyatakan, perkara tersebut ada dibangkitkan pada Majlis Syura Ulama PAS dan dibincangkan secara sepintas lalu, justeru belum ada sebarang keputusan muktamad.

“Kita perlu kaji dan tengok baik buruk mengenainya dan adakah dalam kerjasama di dalam kerajaan itu ada DAP dan sebagainya. Perkara itu akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat,” kata Hashim sebelum ini. 

Dalam laporan Harakahdaily hari ini pula Hashim berkata pengalaman bekerjasama dengan DAP dulu menunjukkan parti tersebut “tak boleh dipercayai” dan membawa “agenda lain.”

Dah tahu selok-belok DAP

Mengulas lanjut Hashim berkata suatu ketika dulu Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyebut dia mahu mentadbir Pulau Pinang seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. 

Pengakuan Lim itu, kata Hashim membuatkan PAS terbuka hati untuk berkawan.

“Puas hati apabila dia (Lim) nak memerintah seperti itu. Tapi rupa-rupanya tak boleh percaya, bohong sahaja, dia ada agenda lain,” katanya.

Hashim juga memberitahu pihaknya memutuskan untuk tidak lagi bersama DAP kerana parti berkenaan menolak Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Apabila keputusan ini kita dah buat, dah kita rasa, dah tahu dah selok-belok DAP ni, (sekarang) Umno nak ajak kita pergi bersama semula? 

“Saya rasa kalau dibawa dalam majlis syura pun, tak akan ada seorang pun yang menyokong untuk kita (PAS) bersama (DAP). 

“Sebab itu kita (PAS) tak mahu DAP, kita tak mahu Anwar. Ini keputusan kita,” katanya yang ditemui Harakahdaily baru-baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *