September 19, 2024

Ampang Jaya: Kanak-kanak antara dua lelaki yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kes pecah kenderaan di Taman Cahaya, di sini, pada 25 Ogos lalu. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailling, Ahad lalu. 

“Menurut pengadu, dia meletakkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza miliknya di hadapan rumah dalam keadaan berkunci jam 1.30 pagi, Ahad lalu. 

“Semasa pengadu mahu menggunakan kenderaan itu kira-kira jam 5 pagi, dia mendapati MPV berkenaan dalam keadaan berselerak.

“Malah, terdapat beberapa barangan berharga milik pengadu yang diletakkan dalam kenderaan itu hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, pihak polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 12 tahun di Pandan Indah serta merampas beberapa barangan jam 11.30 malam tadi. 

“Melalui tangkapan lelaki berusia 21 tahun itu, kami merampas motosikal yang dilaporkan hilang di Shah Alam. 

“Semakan dilakukan mendapati suspek pertama mempunyai sembilan rekod jenayah, manakala ujian saringan air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek yang juga rakan didapati negatif dadah,” katanya. 

Katanya, suspek pertama direman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 September nanti, manakala suspek kedua direman sehari. 

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *