September 19, 2024

PASUKAN SAR membawa keluar mayat mangsa dari kawasan Gunung Tabai

Bau: Jasad lelaki Indonesia yang tertimbus ketika melombong emas di Gunung Tabai di sini berjaya dikeluarkan sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Jawai Francis Kempas berkata mayat Yoga Anggiska, 26, dijumpai pada kedalaman 90 meter di gua gunung berkenaan kira-kira jam 4 petang.

“Keadaan mayat mangsa sudah mulai mereput,” katanya ketika ditemui, sebentar tadi.

Beliau menambah, pengecaman mayat juga agak sukar disebabkan keadaan fizikal yang sudah mereput.

Sehubungan itu, katanya sampel darah DNA daripada keluarga mangsa diperlukan untuk pengecaman mayat.

Terdahulu, Jawai berkata operasi pencarian yang bermula jam 11.35 pagi berjaya mengeluarkan sebahagian jasad mangsa dari dalam lubang berkenaan.

Katanya operasi itu membabitkan 10 orang iaitu empat pegawai bomba, empat warganegara Indonesia iaitu saudara mangsa dan dua penduduk tempatan.

“Usaha membawa keluar jasad mangsa mengambil masa yang lama disebabkan laluan untuk memasuki lubang berkenaan sempit dan sukar.

“Malah, semasa pasukan memasuki kawasan itu juga mendapati ia ditakungi air,” katanya.

Justeru, Jawai berkata mayat mangsa akan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Bau untuk melakukan proses pengecaman.

Katanya kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *