September 19, 2024

Operasi SAR mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, diteruskan hari ini

Kuala Lumpur: Tumpuan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Majid India di sini, hari ini, adalah mengalihkan halangan sepanjang kira-kira 15 meter. 

Halangan itu dikesan menghalang aliran dalam paip pembentungan berhampiran Wisma Yakin, di sini. 

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, halangan itu dikesan dalam paip pembetungan yang terletak 44 meter dari lokasi kejadian.

“Halangan itu dikesan susulan ujian aliran air menggunakan tong yang dilakukan daripada hari pertama dan kedua kejadian yang dilepaskan dalam paip pembetungan yang berakhir di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.

“Hasil daripada dua ujian itu, pelepasan tong air daripada hari pertama dan hari kedua yang kita buat iaitu dua (tong) daripada lokasi tanah jerlus dan dua (tong) daripada Wisma Yakin.

“Berdasarkan pemerhatian kami, setiap lurang kumbahan dan di Loji IWK Pantai Dalam, dua tong yang dilepaskan dari lokasi kejadian tidak keluar,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Susulan itu, katanya, pasukan SAR menggunakan dua pendekatan utama termasuk melencongkan sebahagian aliran air dalam paip pembentungan untuk mengurangkan aliran air.

“Pada masa sama, kami juga menggunakan dua pam berkapasiti tinggi iaitu 10,000 dan 20,000 liter. 

“Hasilnya, pada jam 4 pagi tadi kami dapat menurunkan paras air ke 0.8 meter daripada 1.5 meter (dalam paip),” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya juga memasukkan dua kamera dari arah atas dan bawah dalam lurang kumbahan.

“Daripada atas, kami mendapati tidak berlaku pengurangan air yang nyata iaitu hanya 0.3 meter. 

“Namun di bahagian bawah, kami lihat paras air turun hampir separuh daripada paip,” katanya.

Menurutnya, selepas melihat dan membaca jarak gerakan kamera pada jarak 7.6 meter, pihaknya percaya terdapat halangan dalam paip pembentungan daripada lurang kumbahan di Wisma Yakin.

“Ia menyebabkan berlaku halangan kepada ‘debris’ (serpihan) iaitu pada anggaran kami sepanjang kira-kira 15 meter.

“Berikutan itu, pada 5 petang tadi, kami memulakan usaha untuk merungkaikan halangan itu. 

“Sekiranya berjaya, kami akan nampak keseluruhan permukaan dan malam ini, kami akan ulang kaedah itu,” katanya.

Katanya, usaha mengalihkan halangan itu perlu dilakukan dengan berhati-hati oleh anggotanya menggunakan batang besi dan mengikat tali. 

“Ia bagi mengelakkan berlaku aliran deras secara tiba-tiba yang boleh membahayakan keselamatan petugas.

“Antara bahan yang membentuk halangan itu termasuk botol minyak masak, tayar, ketulan minyak beku serta gumpalan rambut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *