November 27, 2024

KUALA LUMPUR: Bukan Erma Fatima namanya jika setiap naskhah dihasilkan tidak menyentuh isu semasa atau kisah sensasi yang boleh mencetuskan kontroversi.

Menerusi drama bersiri, Jangan Tinggal Abang, Dek… yang diterbitkan khusus siaran platform media sosial milik syarikatnya, Karya TV, Erma mengetengahkan tema sedang hangat diperkatakan iaitu golongan ‘penyondol’ ataupun ‘orang ketiga’ yang menjadi perosak rumah tangga orang lain.

Selain topik cukup dekat dengan masyarakat hari ini, netizen mendakwa barisan pelakon yang terbabit dalam drama itu juga pernah dikaitkan dengan isu penyondol dan disondol.

Menafikan spekulasi bertebaran itu sekeras-kerasnya, Erma menegaskan pemilihan pelakon dibuat berdasarkan bakat dan tidak ada kena mengena dengan kisah peribadi.

“Saya tak berapa nak tahu pasal kes penyondol yang diperkatakan. Saya baru tahu bila drama keluar ketika baca komen.

“Dari situ barulah saya tahu mereka ada kes sondol menyondol ini. Cerita adalah cerita dan pelakon adalah pelakon.

“Saya tak kisah langsung soal latar belakang pelakon. Kalau saya nak kisah, kenapa saya ambil Fathia Latiff yang banyak kontroversi sebelum ini.

“Saya tidak pandang itu tapi pandang bakat yang lebih besar nilainya untuk drama, bukan kisah peribadi ataupun kontroversi,” katanya yang ditemui BH Online pada sidang media Jangan Tinggal Abang, Dek… di ibu negara, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad Ali, 56, itu tidak menolak idea untuk menghasilkan naskhah yang tercetus berdasarkan isu semasa.

“Drama ini dibuat berdasarkan apa yang saya dengar, lihat dan baca. Ia tidak menggambarkan kisah yang spesifik, sebaliknya lebih menjurus kepada keseluruhan.

“Kita tahu dan sering dengar kisah penyondol dan lelaki buaya, tapi ia tidaklah babitkan seorang sahaja kerana inspirasi saya juga diambil daripada pelbagai cerita,” ujar Erma yang bertindak sebagai penulis skrip dan penerbit drama.

Bersikap realistik terhadap isu curang diketengahkan, Erma berkata, drama itu memberi mesej tidak semua wanita yang merampas kebahagiaan wanita lain adalah jahat.

“Jangan anggap semua penyondol jahat kerana kita tidak tahu apa yang berlaku di sebaliknya. Tak habis-habis nak salahkan penyondol.

“Pernah kita bertanya adalah sudah cukup sempurna hingga seorang lelaki tak nak cari lain. Mungkin saya bercerai dengan bekas suami kerana saya tak menjaganya dengan baik kerana sibuk ‘shooting’.

“Saya cakap begini bukanlah kerana saya nak galakkan perbuatan menyondol tetapi kena muhasabah diri sebelum salahkan orang lain,” tegas Erma.

Sementara itu, mengulas pembikinan drama dihasilkan untuk platform media sosial, Erma berkata, idea tercetus selepas melihat sambutan diberikan terhadap drama berkonsepkan sama terbitan produksi dari dalam dan luar negara.

“Saya pernah menonton drama dalam aplikasi TikTok terbitan syarikat produksi tempatan dan luar negara, sambutannya cukup menggalakkan. 

“Selain mahu lebih kreatif dalam berkarya, saya juga membantu produser tempatan mendapatkan hak penuh harta intelek dan usahawan Bumiputera mempromosikan produk menerusi drama dalam talian.

“Buat masa ini, mereka boleh tonton secara percuma dalam media sosial hinggalah wujud platform khas pada Oktober depan.

“Masa itu mereka boleh tonton semua episod, namun ada bayaran yang akan dikenakan,” jelas Erma.

Disiarkan tiga kali seminggu iaitu setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, drama arahan Amor Rizan itu menampilkan lakonan hebat Datuk Adi Putra, Adira Suhaimi, Nabila Huda, Elly Mazlein, Fathia Latiff, Alya Iman dan ramai lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *