September 19, 2024

KUALA LUMPUR: Peguam syarie mewakili pengarah filem, Syamsul Yusof iaitu Azmi Mohd Rais menegaskan isu perceraian anak guamnya dengan isteri, Ira Kazar hanya disebabkan tiada persefahaman dan tiada kaitan lafaz taklik.

Azmi berkata, dia tidak tahu-menahu sekiranya berlaku lafaz taklik kerana tidak dimaklumkan oleh Syamsul, 40, mengenai perkara lain dalam kes perceraian berkenaan.

“Saya tak tahu, saya tak tahu (mengenai lafaz taklik). Saya tidak dimaklumkan apa-apa oleh Syamsul soal benda lain.

“Bagi pihak Syamsul, segala tuntutan dibuat terhadap Ira mengikut seksyen 47 (Enekman Undang-Undang Keluarga Selangor) sudah pun kami serahkan kepada pihaknya selaku defendan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azmi, pihak peguam Ira yang diwakili peguam syarie, Fadil Abd Razak juga sudah memfailkan wakalah ketika prosiding perceraian yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selasa lalu.

Terdahulu, Azmi ditemui media di perkarangan mahkamah, baru-baru ini memberitahu kes perceraian pasangan itu ditangguhkan pada 25 September depan.

Menurut Azmi, penangguhan kepada tarikh baharu dibuat kerana Ira selaku defendan baru sahaja melantik pihak peguam untuk mewakili dirinya bagi kes perceraian berkenaan.

Azmi berkata, Syamsul juga memang sudah bersedia melafazkan cerai terhadap Ira, namun terpaksa akur dengan keputusan mahkamah menangguhkannya ke tarikh baharu.

Sebelum ini, Azmi mengesahkan Syamsul sudah memfailkan cerai terhadap Ira pada 19 Ogos lalu atas sebab mereka tidak lagi mempunyai persefahaman dalam perkahwinan yang dibina lebih setahun.

Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin mendirikan rumah tangga pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *