September 19, 2024

KUALA LUMPUR: Penyanyi Alif Satar berhasrat menemubual dua figura terkenal antarabangsa untuk program kembara berkonsepkan Islamik kendaliannya, Beyond Borders Kita Sama.

Berkongsi lanjut perkara itu, Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd Satar berkata, dua individu itu adalah bekas pemain bola sepak, Zinedine Zidane dan penyanyi kelahiran England, Cat Stevens atau Yusuf Islam.

“Untuk program ini, saya mahu menemubual figura Muslim terkemuka antarabangsa.

“Saya ada cadangan nama untuk ditemubual, antaranya Zidane dan Yusuf Islam.

“Memang menjadi harapan untuk menemubual dua figura ini. Bila diberitahu penerbit mengenai kemungkinan saya berjaya menemuramah mereka, saya memang tak sabar.

“Lagipun, sekarang ramai suka melihat kandungan yang berkaitan agama, sukan dan muzik,” katanya ditemui pada sidang media Konsert Beyond Borders Kita Sama di Auditorium Balai Seni Negara, di sini, hari ini.

Konsert dibawakan khas oleh Light Upon Light itu akan menampilkan Alif bersama bandnya, The Locos dan Kumpulan Raihan.

Ia bakal diadakan di dua kota besar iaitu Paris pada 6 Oktober depan, diikuti London pada 11 Oktober. 

Ditanya apakah soalan bakal diajukan kepada dua individu itu, penyanyi Anugerah Terindah itu berminat mengetahui kisah perjalanan hidup mereka selepas mendapat hidayah.

“Saya ingin tahu bagaimana survival mereka untuk melaksanakan ajaran Islam ketika berdepan dengan situasi Islamophobia,” ujarnya.

Mengenai konsert bakal dijayakannya itu, artis serba boleh itu mengakui sangat teruja kerana terus diterima masyarakat di luar negara.

“Alhamdulillah, konsert berlangsung dengan jayanya, baru-baru ini. Dan kami diundang sekali lagi bersama Raihan.

“Kali ini, kami akan ke Paris untuk membuat persembahan. Orang Perancis sangat sukakan seni, begitu juga kami. 

“Di Paris saya akan membuat persembahan atas kapal persiaran merentasi Sungai Seine,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *