November 23, 2024

DR Mahathir ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur bagi bicara kes saman terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu 'Kutty'.

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan kepada mahkamah, bukti kad pengenalan beliau yang menyatakan nama sebenarnya ialah Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.

Dr Mahathir yang disoal balas peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata Ahmad Zahid menghinanya dengan menyatakan namanya bukan Mahathir Mohamad, dan seluruh dunia mengetahui perkara itu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mempersoalkan tindakan peguam Ahmad Zahid itu yang didakwanya kerap bertanyakan soalan berulang-ulang mengenai keturunannya, dan disifatkan sebagai tidak relevan dalam kes saman fitnah difailkannya itu.

“Anda asyik persoalkan keturunan saya, tetapi kes yang saya failkan adalah sama ada Ahmad Zahid berbohong atau tidak dan sama ada kenyataan beliau itu adalah fitnah.

“(Oleh itu) buktikan saya bukan Mahathir bin Mohamad, itu caranya, bukan dengan mempersoalkan perkara lain. Saya tidak mengambil tindakan (undang-undang) terhadap orang lain, tetapi apa yang dia (Ahmad Zahid) katakan.

Buktikan, tunjukkan IC (kad pengenalan), pada saya (soalan lain) tidak relevan…Saya tidak akan jawab,” katanya.

Pada peringkat itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong mencelah dengan meminta Dr Mahathir menjawab soalan peguam.

Techiong: Anda seorang yang mempunyai fikiran jelas, saya pasti semua orang di sini kagum dengan anda. Saya harap kamu boleh beri kerjasama dengan menjawab soalan peguam.

Dr Mahathir: Tapi ia tidak televan 

Techiong: Dengan hormatnya Tun, sebelum Julai 2017 iaitu tarikh kes saman ini difailkan, ada artikel sebelum itu yang menyatakan nama anda Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Mereka (peguam) berhak untuk tanya. Mereka cuba menunjukkan defendan (Ahmad Zahid) bukan pihak pertama menimbulkan persoalan ini.

Dr Mahathir: Banyak artikel yang ditulis adalah tidak benar. Mereka menekankan nama datuk saya ialah Kutty. Saya sudah jawab perkara itu.

Techiong: Ini adalah sistem adversari, ia berfungsi begitu. Anda di sini sebagai saksi dan peguam defendan berhak bertanya soalan balas, prosesnya ialah selepas ini ada pemeriksaan semula oleh peguam anda bagi penjelasan.

Dr Mahathir: Saya akan jawab tetapi mereka asyik tanya soalan sama.

Pada peringkat itu, Mohamed Shahrul Fazli meminta prosiding ditangguhkan kepada 14 Oktober ini kerana jam sudah menunjukkan hampir 4.30 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *