September 19, 2024

Seluruh jentera parti komponen dalam kerajaan perpaduan akan digerakkan sepenuhnya pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor bagi memenangi hati serta sokongan pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu, ditetapkan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia, semalam.

“Mesyuarat menyokong penuh calon BN di PRK DUN Mahkota mewakili kerajaan perpaduan yang bakal dinamakan oleh kepimpinan tertinggi gabungan itu dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Asyraf Wajdi berkata mesyuarat itu turut memperakui struktur jentera kerajaan perpaduan bagi menghadapi PRK tersebut.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dilantik sebagai pengarah PRK dan pengerusi PH negeri itu, Aminolhuda Hassan sebagai penyelaras jentera PH.

“Mesyuarat turut memandang serius isu 3R dan menegaskan akan menumpahkan taat setia serta terus mempertahankan kedaulatan dan kedudukan raja-raja Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Mesyuarat turut menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebook berkata dia turut menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Wee berkata mesyuarat itu turut dihadiri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, serta semua pimpinan parti yang mendukung kerajaan perpaduan.

“Pelbagai isu berkaitan dengan kepentingan negara dan kebajikan rakyat telah dibincangkan dan perdana menteri telah pun menyampaikan pelbagai input penting kepada hadirin agar agenda pembangunan negara diteruskan dengan baik,” katanya.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *